PERMATANG PAUH: Kekurangan fizikal tidak menghalang seorang Penolong Akauntan untuk memberikan perkhidmatan cemerlang sehingga layak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) oleh Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Pulau Pinang, baru-baru ini.
Khairuddin Saad, 40, yang telah lima tahun berkhidmat di Politeknik Seberang Perai (PSP) berkata, dia terharu dan gembira menerima penghargaan tersebut.
Kata bekas graduan PSP dalam bidang Diploma Pengajian Perniagaan (Pengurusan) yang mempunyai kesukaran untuk bergerak disebabkan keadaan kakinya yang tempang itu, pengiktirafan berkenaan membuktikan golongan kurang upaya sepertinya juga boleh berjaya.
“Sebagai bekas pelajar PSP, saya berasa bertuah kerana dapat bertugas kembali di tempat saya menimba ilmu suatu ketika dahulu dan sekarang, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan yang terbaik kepada PSP pula,” katanya.
Khairuddin merupakan salah seorang daripada 70 kakitangan PolyCC Zon Pulau Pinang yang menerima anugerah itu dalam majlis yang diadakan di sini baru-baru ini.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd. Zahari Ismail dan turut dihadiri Pengarah PSP selaku Pengerusi Pengarah-Pengarah Zon Pulau Pinang, Roseliza Shaari.
Selain sijil penghargaan, kesemua pemenang APC turut membawa pulang Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000.
Terdahulu, Mohd. Zahari dalam ucapannya berharap penganugerahan serta pengiktirafan itu dapat menjadi pemangkin ke arah kecemerlangan selain memberi motivasi kepada semua pihak untuk terus berkhidmat dengan lebih dinamik, dedikasi dan penuh iltizam bagi mencapai aspirasi serta kegemilangan PolyCC.
“Dengan iltizam serta semangat kerja yang positif dalam kalangan warga PolyCC, saya yakin hala tuju dan misi JPPKK untuk melahirkan graduan yang berkualiti, berdaya saing serta holistik akan tercapai,” katanya.
Dalam pada itu, Roseliza memberitahu, sebagai warga PolyCC, momentum kecemerlangan serta komitmen perlu dikekalkan dan ditingkatkan lagi pada masa hadapan.
Beliau berkata, ini penting dalam merealisasikan visi Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk menjadi Peneraju Institusi TVET yang unggul. – UTUSAN