Penjawat awam rugi RM677,565 ditipu ‘phone scam’ - Utusan Malaysia

Penjawat awam rugi RM677,565 ditipu ‘phone scam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Seorang penjawat awam berusia 40-an di sini kerugian sebanyak RM677,565 selepas dipercayai terpedaya sindiket ‘phone scam’ kelmarin.

Mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada seorang individu kononnya daripada pihak Pos Laju yang mendakwa terdapat bungkusan atas namanya yang berisi kad pengenalan dan lima keping kad bank.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Jelasnya, suspek memaklumkan mangsa terlibat dengan kes dadah dan pengubahan wang haram.

“Mangsa diminta untuk memberikan maklumat perbankan dan memindahkan wang bagi mengelakkan daripada ditangkap.

“Bermula daripada 7 Jun sehingga 4 Julai lalu, mangsa telah melakukan beberapa transaksi pindahan wang ke enam akaun bank yang diberikan.

“Mangsa hanya disedari ditipu selepas membuat semakan melalui aplikasi Semak Mule dan mendapati keenam-enam akaun bank yang digunakan suspek mempunyai rekod bersabit kes penipuan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Mohd. Asri turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang diterima daripada mana-mana individu mahupun agensi kerajaan serta swasta berhubung apa juga kesalahan yang disabitkan.

“Lakukan semakan dan pengesahan dengan agensi terlibat dan ingin saya tegaskan, sebarang siasatan yang dijalankan pihak polis tidak hanya dilakukan menerusi panggilan telefon.

“Polis juga tidak akan mengarahkan mana-mana individu untuk melakukan sebarang transaksi pembayaran ketika siasatan sedang berjalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya