Penjaja asal Astaka Hillside Tanjung Bungah ditawarkan berniaga di astaka lain - Utusan Malaysia

Penjaja asal Astaka Hillside Tanjung Bungah ditawarkan berniaga di astaka lain

ASTAKA Hillside Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang musnah terbakar pada 2020 telah siap dibina semula dan bakal kembali beroperasi tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Para penjaja asal Astaka Hillside Tanjung Bungah atau dahulunya dikenali Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah dekat sini, yang tidak bersetuju dengan kadar sewa RM30 sehari akan ditawarkan berniaga di astaka lain oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menunaikan janji kepada 33 penjaja yang terkesan akibat kebakaran yang berlaku pada 2020 dengan tawaran untuk menempatkan perniagaan mereka semula di Astaka Hillside Tanjong Bungah yang baharu siap dibina.

ZAIRIL KHIR JOHARI

”Tambahan daripada itu, setiap penjaja akan menerima pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan serta sumbangan tunai sebanyak RM2,000 daripada kerajaan negeri sebagai modal permulaan perniagaan mereka.

”Namun, ada sebilangan penjaja tidak berpuas hati dengan kadar sewa RM30 sehari (iaitu RM20 untuk sewa dan RM10 untuk penyelenggaraan) yang mereka rasakan terlalu tinggi buat mereka,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, 33 penjaja asal Astaka Hillside Tanjong Bungah memohon kerajaan negeri menyemak semula kadar sewa yang dikenakan terhadap peniaga-peniaga yang bakal memulakan perniagaan kembali di kompleks itu dalam tempoh terdekat.

Para peniaga meminta kerajaan negeri menurunkan kadar sewa sehingga RM300 sebulan bagi mengurangkan beban peniaga memandangkan kadar sewa yang ditawarkan iaitu RM900 didakwa terlalu tinggi.

Menurut Zairil, para penjaja terlibat telah memohon lanjutan masa tawaran daripada pihak CMI selaku pemilik Astaka.

”Bagaimanapun, dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada minggu lepas, maka apa juga keputusan dasar hanya boleh dibuat setelah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibentuk semula selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Maka, dalam tempoh ini, apa-apa keputusan baharu berkaitan rayuan mereka untuk menurunkan kadar sewa tidak dapat dilaksanakan lagi, namun kerajaan negeri mendengar dan peka terhadap isu ini,” katanya.

Tambahnya, setelah berbincang dengan pihak CMI dan MBPP, kedua-dua agensi itu bersetuju untuk membuka temuduga khas kepada penjaja yang tidak berminat dengan tawaran Astaka Hillside agar mereka dapat berniaga di astaka-astaka lain milik MBPP dan CMI yang lebih murah kadar sewa.

“Antara lokasi yang akan ditawarkan termasuk di Padang Kota Lama; Kompleks Kampung Melayu; Kompleks Tanjong Bungah; Kompleks Desiran Tanjung; Kompleks Medan Renong; Kompleks Astaka Stadium; Kompleks Padang Dato Keramat; Tapak Penjaja Sementara (TPS) Jalan Johor/Jalan Dato Keramat dan TPS Jalan Utama.

”Tawaran ini hanya terbuka kepada para penjaja yang benar-benar ingin menyara hidup dan hanya kepada penjaja yang tidak mempunyai premis perniagaan di kawasan lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya