Peniaga kedai makan rugi lebih setengah juta terpedaya pelaburan online - Utusan Malaysia

Peniaga kedai makan rugi lebih setengah juta terpedaya pelaburan online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEBERANG PERAI: Seorang peniaga kedai makan menanggung kerugian sebanyak RM512,244 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham online.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, mangsa yang juga wanita berusia 54 tahun mula terpedaya selepas melihat iklan berkaitan pelaburan saham di akaun Facebook, 22 Mei lalu.

“Mangsa kemudiannya telah berhubung dengan ejen pelaburan terbabit menerusi aplikasi WhatsApp dan diberi penerangan berkaitan pelaburan saham yang ditawarkan.

“Mangsa kemudiannya bersetuju dan membuat pendaftaran melalui laman web ‘HTTP://PSLUS.COM/#/RESGISTERAGENTCODE:697875’ yang diberikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, mangsa seterusnya melalukan sebanyak 20 transaksi pindahan wang ke lapan akaun bank syarikat dari 20 Jun sehingga 5 Julai lalu.

“Dakwa mangsa, pelaburan yang disertainya itu telah menjanjikan keuntungan kira-kira RM400,000 melalui transaksi yang dipaparkan di dalam akaun pelaburan milik mangsa.

“Bagaimanapun, wang keuntungan berserta modal yang telah dilaburkan tidak dapat dikeluarkan.

“Pengadu kemudiannya membuat laporan polis semalam selepas ejen pelaburan telah menghilangkan diri manakala platform pelaburan terbabit juga gagal diakses,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Mohd Asri menasihati orang awam sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai sebarang bentuk pelaburan yang menawarkan keuntungan yang tinggi dalam masa singkat.

“Orang ramai juga diminta untuk membuat semakan terhadap akaun-akaun bank sebelum membuat sebarang bayaran melalui aplikasi Semakmule bagi memastikan akaun berkenaan selamat daripada sebarang kes penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN