Pengusaha kantin didenda RM50,000 guna dokumen palsu tuntut insentif Penjana

Pengusaha kantin didenda RM50,000 guna dokumen palsu tuntut insentif Penjana

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengusaha kantin sekolah dikenakan denda RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi menuntut insentif daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Hakim Rozina Ayob mendenda Amir Shariffuddin Haron, 56, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan yang dikenakan terhadapnya.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan jika lelaki itu gagal menjelaskan denda tersebut. Beliau turut melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan selama empat hari bermula 18 Januari 2024 yang dijadualkan sebelum ini.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd. Muntaqim Abdul Aziz memaklumkan, pihak pendakwaan menerima representasi kedua yang dikemukakan oleh tertuduh pada 30 Mei lalu.

Ujar beliau, pihaknya kemudian menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang kemudian diakui oleh tertuduh. Abd. Muntaqim turut mengesahkan kedua-dua pihak telah melalui proses rundingan tawaran pengakuan di bawah Seksyen 172c Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan selanjutnya diterima tertuduh.

Amir Shariffuddin didakwa menggunakan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja sebagai tulen atas nama Perusahaan As Hayana Services melalui seorang lelaki bagi menuntut insentif di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana). Kesalahan didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak di sini pada 5 Mac 2021.

Menurut fakta kes, Amir Shariffuddin yang merupakan pemilik syarikat As Hayana Services didapati mengemukakan borang pengesahan pekerja mengandungi butiran matan palsu kepada Perkeso bagi tuntutan insentif program Penjana.

Tertuduh mengakui telah menerima RM45,900 daripada pertubuhan itu yang dimasukkan ke dalam akaunnya melalui enam transaksi berbeza hasil daripada dokumen palsu yang dikemukakannya.

Hasil siasatan mendapati kesemua sembilan nama pekerja As Hayana yang dikemukakan di dalam borang tersebut tidak layak untuk menerima bayaran insentif selama enam bulan kerana tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perkeso. Keterangan daripada sembilan pekerja tersebut menunjukkan mereka tidak mengetahui bahawa nama mereka didaftarkan untuk permohonan insentif itu selain tidak menghadiri kursus yang dianjurkan iaitu salah satu syarat yang perlu dipatuhi bagi Program Penjana 2.0.

Sementara itu, peguam Zulkifli Awang yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu dan seorang anak yang masih belajar. Ujar beliau, perniagaan tertuduh tidak begitu memuaskan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu malah dia dibebani hutang berbanding keuntungan.

“Anak guam saya memberi kerjasama ketika siasatan dan kesalahan itu adalah yang pertama dilakukannya. Dia juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya yang turut dibantu peguam Hasmah Nordin.

Pada 14 Julai 2022, media melaporkan SPRM mereman 37 individu bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Kesemua individu yang terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus dan pemilik saham syarikat serta jurutera dan kakitangan eksekutif itu ditahan dalam Ops Hire yang dilancarkan di seluruh negara dengan kerjasama Perkeso. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya