PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membantu dan mengurangkan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian kepala air berdekatan Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, berita mengenai tragedi itu sangat mendukacitakan.
Malah, katanya, mangsa-mangsa itu adalah daripada keluarga peneroka Felda Lepar Hilir 3, Pahang.
“Takziah saya untuk semua keluarga mangsa. Semoga roh dicucuri rahmat dan bersama golongan beriman. Saya meminta pengurusan Felda membuat yang terbaik untuk membantu mangsa dan mengurangkan beban keluarga.
“Saya menyeru kepada semua untuk bersama sama berdoa agar misi ini berjalan dengan lancar dan semoga semua mangsa dapat ditemukan. Al-Fatihah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Setakat pukul 1 petang ini, enam daripada 10 mangsa tragedi kepala air berkenaan ditemukan lemas. – UTUSAN