Pengundi muda celik politik, semangat keluar mengundi - Utusan Malaysia

Pengundi muda celik politik, semangat keluar mengundi

PENGUNDI muda beratur ketika menunaikan tanggungjawab mengundi di kawasan Parlimen Bangi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengundi muda menjadi sasaran parti-parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kerana golongan tersebut dianggap cakna dengan situasi politik semasa dan lebih bersemangat untuk keluar mengundi berban­ding pengundi ‘berusia’.

Analisis daripada organisasi Undi18 mendapati, kira-kira 79 peratus atau 1.1 juta daripada 1.44 juta pengundi berusia 18 hingga 20 tahun keluar me­ngundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), lebih tinggi daripada peratusan keluar mengundi secara keseluruhan iaitu 74 peratus.

Malah didapati kira-kira 51 peratus pengundi muda meliputi 18 hingga 40 tahun atau 7.9 juta daripada 15.6 juta keluar me­ngundi pada PRU15.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Undi18, Tharma Pillai berkata, angka itu sebenarnya meningkat sejak PRU13 dan kemuncaknya pada PRU14 apabila berlaku pertukaran kerajaan buat pertama kali.

Menurutnya, ia menunjukkan generasi baharu pengundi muda lebih terbuka dengan politik dan mahu terlibat dalam proses demokrasi negara.

“Prestasi ditunjukkan pe­ngundi muda ketika ini amat memberangsangkan, apabila analisis kami menunjukkan golongan ini lebih ramai keluar mengundi berbanding pengundi dalam kategori usia lain.

“Ia juga menunjukkan ke­terbukaan politik dalam kala­ngan anak muda, berbanding ge­nerasi-generasi terdahulu,” katanya ketika dihubungi di sini se­malam.

Katanya, apa yang membezakan generasi baharu dan terdahulu adalah majoriti pengundi muda kini tidak lagi mengikut pendirian politik yang dipegang generasi terdahulu.

Dalam pada itu, pensyarah Pengajian Tadbir Urus, Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs (JSC), Sunway University, Prof. Wong Chin Huat menyifatkan, pengundi muda dilihat le­bih cakna politik dan mahu keluar pengundi kerana tidak mempunyai semangat kepartian seperti pengundi generasi terdahulu.

Jelasnya, pengundi muda sebenarnya mempunyai golongan lebih kurang sama dengan pengundi berusia iaitu pengundi yang setia pada parti, pengundi atas pagar dan yang tidak berminat dengan politik.

Sementara itu, Naib Ketua Angkatan Muda Harapan, Young Syefura Othman berkata, anak muda sekarang kebanyakannya sudah celik politik dan oleh ke­rana itu mereka juga memahami setiap dasar-dasar dan polisi yang dirangka oleh kerajaan untuk rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya