BAGAN SERAI: Pas yakin pengundi Cina kini beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, pengundi Cina yang sebelum ini memilih Pakatan Harapan (PH) diramal memberikan undi kepada PN kerana mereka mempunyai prinsip ďiri yang tinggi dan pantang ditipu.
Menurutnya, sokongan pengundi Cina beralih kerana PH memilih membentuk kerajaan dengan Barisan Nasional (BN), berbeza dengan janji semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Penyokong PH khususnya masyarakat Tionghoa dimomokkan semasa kempen PRU-15 ‘ undi BN dapat Zahid’ (Presiden UMNO), ‘undi BN kaki rasuah’ dan sebagainya termasuk akan mengambil tindakan dalam isu projek LCS.
“Tetapi apabila menjadi kerajaan, percakapan PH dilihat tidak selari dengan tindakan dan perbuatàn, maka golongan ini beranggapan mereka dipermainkan, ditipu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program melepaskan konvoi bermotosikal Pemuda Pas ke Pulau Pinang di Plaza Tol Alor Pongsu di sini semalam.
Menurut Idris, masyarakat Tionghoa mempunyai harga diri yang tinggi serta berprinsip.
Menurutnya, sekali mereka tertipu, tidak mungkin mereka akan membenarkan diri mereka ditipu lagi.
“Mereka tidak lagi melihat idealisme perjuangan PH sebaliknya melihat PH hanya menjaga dan berjuang untuk kepentingan diri semata-mata,” katanya.
Menurut Idris, melihatkan gelombang pengundi di enam buah negeri, beliau yakin PN mampu meraih kemenangan besar termasuk di Pulau Pinang.
“Memang banyak ramalan yang dibuat oleh pemerhati dan penganalisis politik mengenai PRN.
“Namun melihatkan gelombang kebangkitan daripada pelbagai kelompok seperti gelombang anak muda dan pelbagai kaum di enam negeri terlibat PRN, saya dapat merasakan keputusan PRN berada di pihak PN,” katanya. – UTUSAN