SHAH ALAM: Pengumuman nama Najwan Halimi sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik sekali lagi mewakili PKR dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hampir mencetuskan ketegangan.
Sebaik sahaja nama beliau diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekurang-kurangnya dua individu dilihat lantang membantah keputusan tersebut apabila Perdana Menteri diingatkan sikap bekas Ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Selangor itu yang pernah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Bagaimanapun, situasi tersebut dikawal oleh beliau sendiri yang meminta semua ahli akur dengan keputusan jawatankuasa pemilihan sebelum diputuskan kepada umum.
“Tak apa, orang biasa memang buat silap. Dengar, dengar, dengar…the position of the party is what is said by the president, we are here to serve the Chinese, Malay, Indian, Dayak and Khadazan,” katanya ketika berucap pada Pengumuman Calon PKR, hari ini.
Terdahulu, mesej Najwan dalam sebuah grup Whatsapp mempersenda seorang calon daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) di DUN Meru, Sivaranjani Manickam, 42, sebagai ‘parti India estet’.
Justeru, mesej tersebut menerima kecaman pelbagai pihak, bagaimanapun Najwan baru-baru ini membuat permohonan maaf terhadap kenyataan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perkara tersebut harus dilakukan bagi meneruskan momentum parti menjelang hari pengundian pada 12 Ogos ini.
“Kepada calon, saya minta mereka mulakan jentera mereka mulakan kempen untuk membina momentum sebelum hari PRN Sekiranya calon gagal, saya sendiri akan berjumpa Presiden supaya watikah menjadi calon mereka ditarik semula,” katanya, hari ini.
Menurut Anwar, beliau tidak mahu calon hanya ‘berdegar-degar’ berkempen supaya mereka dapat bertanding pada PRN, namun apabila soal menggerakkan jentera, calon gagal berbuat demikian.
Bagaimanapun, Rafizi menjelaskan calon harus bertanggungjawab kepada jentera mereka melakukan apa-apa aktiviti atau kempen, bagi meningkatkan peratusan PKR menang di kawasan tersebut.
“Saya dan Presiden (Anwar Ibrahim) tak mampu untuk berkempen di semua kawasan. Jadi, calon dan jentera mereka harus lakukan kempen ini. Kita ada 45,000 orang yang menjadi jentera parti pada PRN kali ini. Takkan kita tak boleh pengundi atas pagar sebanyak mungkin,” tegasnya.
Selain menggerakkan jentera, Rafizi mengingatkan calon untuk mengisytiharkan harta serta menandatangani dokumen bon dalam tempoh dua atau tiga hari mulai ini.
Sekiranya gagal, nama mereka akan digugurkan sebagai calon dan parti akan menamakan ahli parti lain sebagai calon. – UTUSAN