Pengasuh dera bayi perempuan 6 bulan didakwa bunuh mangsa - Utusan Malaysia

Pengasuh dera bayi perempuan 6 bulan didakwa bunuh mangsa

TAN Wooi Cheng dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia enam bulan, minggu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia enam bulan, minggu lalu.

Tertuduh, Tan Wooi Cheng, 51, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret S. Punitha.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membunuh Cheong Si Yu berusia enam bulan di sebuah rumah di Persiaran Klebang Selatan 5, Tawas Indah di Chemor antara pukul 12 tengah malam pada 9 Julai 2023 hingga 11 pagi, 12 Julai 2023.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam, J. Matthews.

Terdahulu, Matthews memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya itu menghidap penyakit tiroid yang serius dan memohon agar wanita itu diberikan rawatan sewajarnya oleh pihak penjara.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Oktober depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Sabtu lalu, seorang bayi perempuan dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dua hari dalam keadaan koma.

Bayi itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.51 petang pada Jumaat selepas dihantar pengasuhnya dengan menaiki ambulans pada Rabu.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian bayi terbabit disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul.

Berdasarkan siasatan, suspek menjaga bayi terbabit sepenuh masa sejak Mac lalu kerana kedua ibu bapa mangsa bekerja di Australia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya