Penduduk mengeluh capaian internet masih lemah

Penduduk mengeluh capaian internet masih lemah

NUJANAH Asbinoor (kanan) bersama dua adiknya, Nurjazlin dan Nurjasmin terpaksa menggunakan telefon pintar di luar rumah untuk capaian internet yang lebih baik di Kampung Permatang Kerat Telunjuk, Bandar Baharu, Kedah. - UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Permatang Kerat Telunjuk, di sini mengeluh tentang masalah capaian internet lemah yang didakwa masih berlarutan.

Seorang penduduk, Marlia Omar, 40, berkata, masalah tersebut dikatakan akan diselesaikan tahun lepas selepas kajian di sekitar kampung itu dilakukan oleh pihak berkenaan.

“Bagaimanapun harapan penduduk hanya tinggal harapan apabila sehingga kini masalah itu belum selesai sehingga mengganggu aktiviti penduduk yang perlu menggunakan internet.

“Zaman sekarang ini internet sudah menjadi satu keperluan terutama mereka yang menjalankan perniagaan secara dalam talian yang memerlukan talian internet untuk berurusan bersama pelanggan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tahun lalu, akhbar ini melaporkan masalah capaian internet lemah di kawasan tersebut sebelum Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan untuk memasang pencawang baharu.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Wan Romani Wan Salin dalam kenyataannya turut memaklumkan masalah berkenaan dijangka selesai akhir tahun lepas.

Menurut Marlia, mujur ketika ini tiada lagi sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) selepas negara memasuki fasa endemik Covid-19, namun pelajar yang mencari informasi dalam laman sesawang akan menghadapi masalah.

Seorang penduduk, Nor Arzila Abd. Rashid, 37, berkata, kawasan rumahnya di Kampung Bukit Takong pula hanya memiliki talian yang agak baik daripada sebuah syarikat telekomunikasi sahaja.

Katanya, talian daripada syarikat lain didapati agak lemah dan berharap pihak yang berkaitan dapat menyelesaikan masalah itu sebaik mungkin kerana sudah tertangguh sejak lebih setahun.

“Apabila hanya ada satu talian sahaja yang baik, ramai penduduk beralih menggunakannya tetapi lama-kelamaan talian itu juga boleh menjadi lemah kerana kepadatan penggunanya.

“Jadi kami harap masalah ini diselesaikan segera kerana kalau diikutkan pihak terlibat memaklumkan kepada penduduk masalah capaian internet akan selesai pada Mac tahun lalu dan kemudian pada akhir tahun lepas. Namun sehingga pertengahan tahun ini tiada tanda-tanda akan selesai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya