Penduduk Kampung Iboi minta tuntutan disegerakan

Penduduk Kampung Iboi minta tuntutan disegerakan

MAHDZIR Khalid (empat kiri) bersama bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim dan penduduk serta pemimpin meninjau keadaan Sungai Kupang di Kampung Iboi, Baling. -UTUSAN/ NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Penduduk Kampung Iboi di Kupang mendesak beberapa tuntutan termasuk berkaitan pembinaan semula infrastruktur di kawasan itu yang masih belum selesai sejak berlakunya tragedi kepala air setahun lalu dapat disegerakan.

Ketua Komuniti Kampung Iboi, Noor Mohamad Che Husain, 60, berkata, rakyat di kampung itu sangat menderita dan kehidupan mereka tidak sempurna seperti sebelum ini kerana banyak masalah yang timbul sehingga menjejaskan aktiviti harian.

“Kehidupan kami amat terganggu dengan keadaan yang serba kekurangan kerana banyak infrastruktur dan kemudahan asas yang ada sebelum ini telah rosak dan musnah sama sekali.

“Sebenarnya terdapat kira-kira 32 perkara yang berkaitan isu pembangunan semula di Kampung Iboi dan kami harap kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan ambil tindakan segera untuk atasi masalah rakyat di sini yang sebenarnya masih trauma dengan kejadian kepala air itu,” katanya pada Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi di Kampung Iboi, Kupang, di sini hari ini.

Antara tuntutan itu termasuklah jambatan rosak yang belum dibaiki; pemulihan semula kawasan perkelahan Lata Chelak; pembaikan atau pembinaan semula sistem saliran yang mengairi kawasan tanaman padi; pembersihan sisa kayu-kayan yang masih tertinggal dan pemasangan siren bencana.

Menurut Noor Mohamad, daripada beberapa tuntutan itu, terdapat perkara yang harus diselesaikan segera seperti pembinaan jambatan baharu yang amat penting bagi penduduk berulang-alik.

“Sehingga sekarang penduduk masih menggunakan Jambatan Bailey untuk urusan keluar masuk dari kampung ke jalan utama kerana itu satu-satunya jalan yang ada dan paling dekat.

“Tiang elektrik, penurapan jalan, rumah baharu mangsa banjir, dusun penduduk, tanaman dan sawah padi penduduk, kawasan tadahan air, sistem perparitan dan sebagainya lagi perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan untuk segera mengatasinya.

“Ramai penduduk kehilangan punca pendapatan kerana hasil tanaman dan kebun serta petak sawah padi mereka rosak serta musnah dalam kejadian tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kesemua tuntutan yang dilakukan oleh penduduk sukar dilaksanakan sekiranya tiada hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Kita faham penderitaan rakyat dan kehendak mangsa tragedi kepala air ini dan mahu segera laksanakan tuntutan mereka yang kebanyakannya telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu.

“Namun apakan daya kerana masalah dan kelemahan kerajaan negeri serta perhubungan diplomatik mereka dengan Kerajaan Pusat yang tidak baik menyebabkan tuntutan-tuntutan rakyat ini tidak dapat dilaksanakan dengan segera.

“Perkara ini perlu diambil perhatian kerana ia sepatutnya boleh diselesaikan apabila ada koordinasi antara dua pihak. Saya akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri untuk tindakan selanjutnya dan berharap ianya dapat diselesaikan dengan baik,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya