TAMPIN: Kira-kira 300 orang penduduk di Kampung Baru Geduk, di sini mendesak supaya pihak bertanggungjawab memindahkan operasi tempat pembiakan sejenis ulat yang digunakan untuk makanan ayam serta baja ekoran bau busuk yang mengganggu kehidupan mereka.
Salah seorang penduduk kampung berkenaan, Cheh Kam Choi, 68, berkata, terdapat dua lokasi bagi operasi membiakkan ulat dengan nama saintifiknya Hermetia Illucens di salah satu lokasi berada kurang 300 meter dari rumah penduduk.
Menurutnya, jika tiada tindakan segera diambil dibimbangi operasi tempat pembiakan itu akan lebih besar di kawasan tanah persendirian pertanian berkenaan.
“Saya dapat tahu, tempat ini menjalankan aktiviti membiak ulat tinggi protein dengan kulit telur serta telur rosak menjadi makanan ulat berkenaan.
“Apabila cuaca panas dan kering, penduduk tidak lagi boleh membuka tingkap dan pintu kediaman masing-masing kerana bau busuk dan ia amat mengganggu kehidupan kami. Rata-rata penduduk adalah warga emas dan terdapat sebuah sekolah dan sebuah pusat karaoke di sini.
“Tetapi keadaan kini tidak semeriah dahulu disebabkan masalah bau busuk ini. Saya harap pihak bertanggungjawab dapat segera mengambil tindakan berhubung masalah ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Bagi seorang lagi penduduk, Ng Thin Hong, 35, aduan telah disalurkan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga sudah meninjau lokasi aduan.
“Bagaimanapun bau busuk masih juga ada dan menimbulkan rasa kurang senang penduduk berikutan baunya yang melekat di dalam rumah,” katanya.
Penyandang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baru Gedok, Leong Sao Peng pula berkata, selepas pihak berkuasa meninjau kawasan berkenaan, pengusaha tempat pembiakan ulat itu dilihat seolah-olah sedang berpindah ke tempat pembiakan baharu yang terletak di hujung kampung.
Bagaimanapun menurutnya, keluasan tempat pembiakan baharu itu 10 kali ganda lebih besar daripada tempat pembiakan sekarang.
“Kami bimbang tempat pembiakan baharu akan mengeluarkan bau busuk yang lebih teruk nanti lebih-lebih lagi lokasinya juga berdekatan dengan penduduk kampung tradisional Melayu pula.
“Kami tidak mahu penduduk lain pula jadi mangsa dan amat berharap agar operasi yang mengeluarkan bau busuk ini dapat dipindahkan ke lokasi lain,” katanya. – UTUSAN