SELAYANG: Pertuduhan dibuat terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di mahkamah hari ini didakwa disebabkan oleh Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, tindakan pendakwaan itu dianggap seperti klimaks dalam ‘melumpuhkan’ kemaraan Pas dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN ini.
“Kita serah kepada proses undang-undang, tidak ada masalah cuma kita nak bagi sokongan solidariti di atas pentas politik yang kita tengah hadapi PRN di enam negeri, ini yang jadi klimaks.
“Kita tengok sekarang di Kedah punca kepada ini disebabkan oleh PRN,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan bangunan Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini.
Pada masa sama, Awang yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat berkata, pendakwaan kes berkaitan 3R (agama, bangsa, raja) terhadap Muhammad Sanusi ini juga diharap mampu menjadi pengajaran buat semua pihak khususnya pemimpin politik supaya lebih berhati-hati.
“Benda sudah terlajak dan ini mungkin pengajaran buat masa depan untuk semua bukan untuk Sanusi sahaja,” jelasnya.
Muhammad Sanusi kini sedang menghadapi prosiding pendakwaan di dua Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948. – UTUSAN