KANGAR: Pencemaran di hulu Sungai Kubang Tiga dipercayai berpunca dari pelepasan air larut resap (leachate) dari Tapak Pelupusan Sanitari Rimba Emas.
Menerusi pemeriksaan dilakukan pegawai penyiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri di tapak berkenaan Sabtu lalu mendapati, leachate yang dikumpulkan di kolam pemantauan telah melimpah dan mengalir masuk ke Sungai Jernih.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan berkata, susulan itu pegawai penyiasat JAS mengarahkan operator tapak pelupusan sanitari menghentikan limpahan itu dengan meninggikan tebing kolam pemantauan berkenaan.
“Siasatan mengesan pintasan air larut resap daripada elevated water tank ke kolam tadahan air hujan melalui satu saluran paip dan berikutan itu operator tapak pelupusan sanitari diarah menghentikan lencongan leachate serta-merta bagi mengelak pelepasan daripada kolam tadahan,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan, air warna hitam dan terdapat ikan yang mati terapung dikesan di kawasan hulu Sungai Kubang Tiga yang didakwa tercemar sejak akhir tahun lalu dan terus berlarutan sehingga mengundang kebimbangan penduduk sekitar.
Ia memberi kesan kepada petani dan ada antara mereka mengalami kerugian sehingga RM30,000 akibat tanaman rosak selepas menggunakan sumber air dari sungai itu.
Megat Hashirat berkata, siasatan susulan dilaksanakan pada Ahad lalu di tapak berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati saluran paip pintasan terlibat masih belum ditutup oleh operator.
Katanya, hasil pemeriksaan mengesan kebocoran leachate pada saluran paip pam di atas jalan akses dan dalam longkang yang kemudiannya memasuki kolam tadahan air hujan.
“JAS mengarahkan operator membaiki dan mengukuhkan tebing kolam dan tapak pelupusan bagi memastikan tiada lagi limpahan atau kebocoran.
“Malah jika laporan analisis sampel leachate tidak mematuhi standard pelepasan ditetapkan, tindakan lanjut akan dilaksanakan,” katanya.
Jelasnya, operator tapak diarah membersihkan hutan dan belukar berhampiran kolam pemantauan serta kolam tadahan bagi mengelak kejadian itu berulang. – UTUSAN