Pencari madu lebah tidak sempat jamah sup asam kaki lembu

Pencari madu lebah tidak sempat jamah sup asam kaki lembu

JENAZAH mangsa tersangkut di atas pokok keruing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telosan, Pasir Puteh, Kelantan semalam. – UTUSAN/ TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Hasrat seorang warga emas untuk menikmati juadah sup asam kaki lembu tidak kesampaian selepas maut akibat tersangkut di atas pokok keruing setinggi 60 meter semasa mencari madu di Bukit Lapan, Kampung Chabang Tungkat di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Che Hussin Che Hassan, 62, atau dikenali sebagai Hussin Leboh meninggal dunia sebelum sempat ke kawasan sarang lebah di pokok tersebut.

Isterinya, Midah Abdul Rahman, 62, berkata, suaminya bercadang menikmati juadah itu selepas menunaikan solat Zuhur di Masjid Mukim Telosan sebelum pulang ke rumah dari Bukit Lapan.

Menurutnya, dia ketika itu sedang menyiapkan sup asam kaki lembu sebelum dikejutkan dengan berita suaminya me­ninggal dunia semasa mencari madu lebah.

“Terkejut dengan berita itu, saya terus pengsan kerana tidak percaya arwah suami pergi secara tiba-tiba. Arwah beria-ria benar mahu makan sup asam kerana dia sendiri membakar dan mencincang kaki lembu pada malam sebelum kejadian. Saya tidak menyangka ia adalah petanda awal pemergiannya buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Telo­san di sini semalam.

Katanya, kebiasaannya, arwah keluar dari rumah kira-kira pukul 8 pagi bersama dua rakannya ke hutan dan singgah untuk solat Zuhur berjemaah di Masjid Mukim Telosan semasa dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Semasa kejadian, saya dimaklumkan bahawa arwah meminta dua rakannya berselawat dari bawah pokok sebelum dia memanjat beberapa meter ke atas.

“Kedengaran sayup suaranya yang menyebut ‘Allah, Allah, Allah’ sebelum arwah tidak memberi sebarang tindak balas selepas itu,” ujarnya.

Sementara itu, anaknya, Muhammad Ariffin, 30, berkata, arwah ada mengajaknya masuk ke hutan sehari sebelum kejadian, namun menolak permintaannya kerana perlu meniaga ikan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya