PENDANG: Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pendang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
DUN Sungai Tiang menyaksikan pertembungan antara Abdul Razak Khamis (PN) dengan Mohamad Fadzil Zolkipli (BN). Manakala DUN Tokai antara penyandangnya, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman (PN) dengan Zainal Abidin Saad (PH).
Tiada calon bebas bertanding di kedua-dua kawasan tersebut setelah tempoh untuk calon-calon mengemukakan borang masing-masing ditutup pada pukul 10 pagi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Tokai, Nasrun Mohd. Shariff mengumumkan pertandingan antara Dr. Mohd Hayati dan Zainal Abidin. Manakala Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sungai Tiang, Muhammad Hamdi Abdullah Zawawi mengesahkan pertambungan antara Abdul Razak dan Mohamad Fadzil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, proses penamaan calon kali ini berjalan lancar dan tidak membabitkan insiden tidak diingini antara penyokong.
“Kita menempatkan 130 pegawai dan anggota untuk memantau proses ini dan bersyukur kerana penyokong parti terlibat memberi kerjasama baik dan menunjukkan disiplin terpuji hingga proses ini tidak terganggu,” katanya. –UTUSAN