Peminat setia jaga Daud Kilau - Utusan Malaysia

Peminat setia jaga Daud Kilau

MAZIAH Mat Yusop dan suaminya menjaga M. Daud Kilau yang terlantar akibat masalah kesihatan di rumah penyanyi veteran itu di Bagan Datuk. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Sepasang suami isteri dari Manjung yang merupakan peminat setia Datuk M. Daud Kilau sanggup berkorban masa untuk menjaga penyanyi veteran itu yang kini terbaring akibat masalah kesihatan.

Maziah Mat Yusop, 64, dan suaminya sudah sebulan menjaga Daud Kilau di rumah penyanyi veteran itu di Sungai Balai dekat sini.

Menurut Maziah, dengan pengalamannya sebagai bekas jururawat, dia membantu isteri Daud Kilau, Datin Rohani Awang Ngah menjaga pe­nyanyi veteran itu.

“Saya dan suami memang peminat setia Daud Kilau. Sudah sebulan kami menjaganya di rumah beliau di sini.

“Apabila mendapat tahu dia mengalami masalah kesihatan, kami menawarkan khidmat untuk menjaganya, kami lakukan ini kerana meminatinya.

“Saya sedih melihat kea­daannya yang kini terlantar, tidak boleh bangun sendiri. Saya dan suami menawarkan khidmat menjaganya demi kerana meminatinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Daud Kilau terharu di atas kesudian pasangan itu menjaganya semasa beliau sakit.

“Saya amat terharu kerana ada peminat setia yang sanggup menjaga saya, dia bagi makan, jaga tempat tidur, beri makan ubat dan lain-lain keperluan saya dijaga dengan teratur. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya di atas pengorbanannya terhadap saya,” katanya.

Daud Kilau, 85, menghidap kencing manis, kebas-kebas tangan dan kaki sejak enam tahun lalu dan kini hanya mampu terbaring.

Menurutnya, keadaan kesihatannya tidak banyak berubah.

“Sekarang saya hanya mampu terbaring, nak berge­rak pun susah, rasa sakit ke­dua-dua belah kaki, rasa kebas dan tak mampu nak bercakap lama-lama.

“Saya mengharapkan doa daripada peminat dan rakan-rakan, juga saya mohon ampun apa jua kesalahan saya kepada semua orang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya