Pemilik taska, kakitangan didakwa abai, aniaya kanak-kanak di bawah jagaan - Utusan Malaysia

Pemilik taska, kakitangan didakwa abai, aniaya kanak-kanak di bawah jagaan

WANITA pemilik taska dan dua kakitangannya dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan mengabaikan dan menganiaya lima kanak-kanak di bawah jagaan mereka, minggu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga wanita termasuk pemilik taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan dan menganiaya lima kanak-kanak di bawah jagaan mereka, minggu lalu.

Tertuduh yang juga pemilik taska, Rozidah Yahaya, 51, dan kakitangannya, Noor Shafina Abdul Khair, 26, dan Wan Suhaila Mior Khir, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad dan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Pada prosiding di hadapan Azizah, Rozidah yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun telah meninggalkan mangsa tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.

Kesalahan yang menyebabkan mangsa cedera di lengan kiri itu dilakukan di Taska Nur Raihan, Taman Meru Perdana dalam daerah Chemor antara pukul 4.14 hingga 4.15 petang, 6 Julai 2023.

Pertuduhan terhadap ibu kepada empat anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K. Darinee manakala tertuduh diwakili peguam Muhd. Alif Afandi dan Mohamad Salihen Mastor.

Terdahulu, Darinee mencadangkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM12,000 namun Muhd. Alif memohon agar jumlah jaminan dikurangkan sekitar RM3,000 atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang proses siasatan selain bersedia dengan syarat tambahan yang ditetapkan.

Muhd. Alif berkata, anak guamnya juga tidak akan mengganggu mangsa ekoran taska berkenaan telah pun ditutup sementara.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan Noor Shafina dan Wan Suhaila yang merupakan pembantu dan guru taska masing-masing didakwa bagi tiga pertuduhan menganiaya empat kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki berusia lingkungan dua tahun.

Perbuatan kedua-dua tertuduh termasuk dengan merentap rambut, menampar pipi, menekan kepala ke bantal, memukul belakang badan dan mencubit pipi mangsa itu dilakukan di lokasi sama pada 4 dan 6 Julai 2023.

Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah dan Evangelin Simon Silvaraj manakala Noor Shafina diwakili peguam Mohammad Syarifuddin Zaid dan Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek pula mewakili Wan Suhaila.

Hakim Ainul Shahrin membenarkan Noor Shafina diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin manakala Wan Suhaila pula dengan jumlah jaminan RM8,000.

Tarikh sebutan semula bagi ketiga-tiga tertuduh pada 16 Ogos depan.

Media pada Isnin lalu melaporkan, tiga wanita ditahan bagi membantu siasatan kes dera membabitkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di sebuah taska di Taman Meru Perdana 2 di sini.

Tangkapan terhadap kesemua suspek itu dijalankan susulan laporan polis dibuat bapa mangsa pada Khamis minggu lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya