KUALA LUMPUR: Pelakon, pengarah dan penerbit, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menyifatkan pemecatan 24 jam bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim sebagai tindakan kejam dan tidak adil.
Katanya, tindakan itu dibuat terburu-buru tanpa sebarang penjelasan serta tidak mengikut prosedur dan proses yang betul.
“Pemecatan ini dibuat terlalu drastik. Seorang CEO tidak boleh diberhentikan serta merta tanpa sebab melainkan membabitkan salah laku atau masalah integriti, kena ada proses. Sepatutnya Md. Nasir direhatkan dahulu, disiasat. Kemudian barulah tindakan dibuat.
“Kalaupun pemecatan 24 jam ini disebabkan masalah prestasi, beliau perlu dinasihatkan terlebih dahulu dan diberi tempoh untuk perbaiki pencapaiannya.
“Saya simpati dan melihat keadaan ini sebagai satu penganiayaan terhadap Md. Nasir. Nak kosongkan pejabat pun beliau tak sempat, apatah lagi nak sediakan nota serah tugas sebelum lepaskan jawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Ahmad Idham mengulas tentang pemecatan serta merta Md. Nasir selaku CEO Finas yang dibuat awal Jun lepas.
Pengarah berusia 49 tahun itu pada masa yang sama meluahkan kekhuatiran sekiranya Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil menerima nasihat yang salah dari pihak tertentu sehingga mendorong kepada tindakannya menyokong pemecatan Md. Nasir.
“Saya tidak salahkan Fahmi, sebaliknya berasa simpati dan risau sekiranya beliau dikelilingi orang-orang yang salah. Bahkan tidak wajar Fahmi mengabaikan permintaan Md. Nasir untuk berjumpa beliau, sedangkan Md. Nasir menggunakan cara yang paling berhemah.
“Yang patut dipersoalkan adalah tindakan ahli perbadanan itu sendiri yang membuat tindakan terburu-buru dan tidak berperikemanusiaan.
“Macam mana mereka boleh nasihatkan menteri untuk luluskan tindakan sebegitu? Terlalu banyak perkara yang tidak jelas dalam isu ini. Pada saya, pemecatan Md. Nasir adalah kejam dan tak adil,” ujarnya.