KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan tinjauan ke Caffe Diem di Jejawi di sini baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil itu disambut oleh Pengarah Urusan Encomas Sdn Bhd & Caffe Diem, Datuk Rick Cheng Wooi Seong.
Caffe Diem Jejawi merupakan kafe ketiga oleh Encomas Group dan yang pertama di Perlis.
Caffe Diem pertama dibuka pada 2014 di Pekan Cina, Alor Setar dalam sebuah bangunan warisan dan pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.
Ia diikuti oleh Diem Bakery pada tahun 2019 yang terletak hanya di seberang jalan daripada Caffe Diem Alor Setar dan di belakang Sungai Anak Bukit.
Kafe yang terletak di All In Hotel itu menyajikan kopi, roti, pastri, kek, pencuci mulut serta makanan ‘fusion’.
Rick mempersembah maklum kepada Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen bahawa
All In Hotel adalah rangkaian hotel butik pertama yang berpangkalan di Perlis.
Hotel serba baharu ini menggunakan falsafah reka bentuk kontemporari namun menyediakan persekitaran yang selesa dan bersih untuk penginapan para pelanggan.
Beliau turut mempersembahkan ucapan menjunjung kasih kepada baginda berdua yang sentiasa memberikan solongan kepada industri pelancongan di negeri ini dan juga di atas kesudian untuk berangkat melawat Caffe Diem dan All In Hotel di samping menitahkan beberapa nasihat penambahbaikan.
Pada kesempatan sama Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan ucapan tahniah di atas konsep yang diketengahkan
oleh Caffe Diem dan juga All In Hotel.
Baginda berharap agar perniagaan hotel dan kafe di negeri Perlis akan terus maju dan dapat menarik lebih ramai lagi pelancong terutama dalam persiapan negeri ini untuk cuba menjadi hos yang hebat bagi kempen Tahun Melawat Perlis 2024/2025 yang akan datang nanti.-UTUSAN