KAMPAR: Pemandu kereta Proton Savvy yang parah terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan menghantar dua adik untuk mendaftar di Universiti Malaya (UM) di Cyberjaya bulan lalu, disahkan meninggal dunia hari ini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa, Muhammad Danial Haikal Ghazali, 24, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.17 tengah hari tadi, di Hospital Balik Pulau, Pulau Pinang.
“Akibat kemalangan itu, mangsa parah dan mengalami pendarahan di perut. Mangsa yang dipindahkan ke Hospital Balik Pulau dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) meninggal dunia pada 12.17 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media pada 17 Jun lalu melaporkan, nahas di Kilometer 301.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan membabitkan sebuah treler dan Proton Savvy itu telah mengorbankan adik Muhammad Danial, Muhammad Zweill Haikal, 18.
Mangsa yang beralamat di Georgetown, Pulau Pinang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Nahas sekitar pukul 6.22 pagi itu turut mengakibatkan ibu mangsa berusia 49 tahun serta dua abang dan adik lelakinya cedera.
Kejadian berlaku ketika lima beranak itu dalam perjalanan ke Cyberjaya untuk mendaftarkan Muhammad Zweill Haikal dan abangnya berusia 20 tahun di UM, Cyberjaya. – UTUSAN