KOTA BHARU: Seorang pelukis mengakui hidup dalam keperitan apabila gagal menjual lukisan semasa negara berdepan pandemik Covid-19 dua tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Asrul Chik atau Asrul Chik berkata, sepanjang tempoh itu, kantung kewangannya menyusut begitu teruk selepas gagal menjual hasil karyanya.
“Sebelum pandemik Covid-19, dalam tempoh tiga bulan saya mampu meraih pendapatan sehingga RM18,000 hasil jualan lukisan.
“Masa Covid-19 lukisan gagal dijual dan saya hilang sumber kewangan. Melukis adalah pendapatan utama saya untuk menyara keluarga. Alhamdulillah, bermula tahun ini saya sudah mampu menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 hasil jualan lukisan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Asrul Chik memberitahu, dia menjual lukisan itu secara dalam talian yang mendapat sambutan hangat kalangan peminat di luar Kelantan.
Katanya, satu-satu lukisan yang dihasilkan mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan untuk disiapkan.
“Menjadi pelukis juga bukan satu perkara yang mudah, namun disebabkan minat sejak kecil saya teruskan berkarya.
“Setiap lukisan yang dihasilkan itu lahir daripada jiwa nurani saya sendiri. Lukisan adalah ‘jiwa’ saya,” jelasnya.
Asrul Chik berkata, dia bertuah apabila mendapat sokongan penuh daripada isteri.
Katanya, sokongan itu membuatkan dia kekal bersemangat untuk berjuang sebagai pelukis. – UTUSAN