PERSEMBAHAN lawak jenaka atau lelucon ada seni tersendiri yang perlu dipraktikkan. Bukan main hentam kromo atau semberono tanpa memikirkan perasaan pelawak lain atau subjek yang disampaikan.
Lebih-lebih lagi buat pendatang baharu yang menceburkan diri dalam gelanggang lawak yang sepatutnya mempunyai hormat terhadap pelawak senior lain.
Terkilan dengan sikap segelintir pelawak baharu yang sering bergurau secara berlebihan, Ropie atau nama sebenarnya Zahid Tajuddin, 56, melabelkan tindakan sebegitu sebagai kurang sopan dan tidak beradab.
“Pelawak baharu sekarang belum apa-apa lagi dah ‘bagi’ saya atas pentas. Lepas itu dia tahu saya melatah, dia cuit-cuit pula saya di belakang pentas.
“Kita ini baru pertama kali berjumpa. Kenal pun tidak. Kalau sudah jumpa banyak kali dan kenal lama okey kita faham,” katanya.
Ropie yang terkenal sebagai Pak Kodi dalam sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) di TV3 berkata, sejak menceburi bidang seni, sudah menjadi amalannya untuk meminta izin terlebih dahulu kepada pelawak lain sebelum berjenaka.
“Kalau orang yang lebih tua daripada saya, saya akan hormat sebab takut. Contoh macam buat sitkom JKK, saya hendak ‘sentuh’ telinga Ebby Yus ke, kaki Salman ke, saya akan minta izin terlebih dahulu.
“Saya ini yang semakin berumur pun ada rasa takut hendak buat lawak atau bercakap atas pentas.
“Sudah jadi kebiasaan sekarang sudah melawak baru hendak minta maaf. Kebanyakan pelawak sekarang begitulah sikapnya. Sepanjang saya melawak dan bergelar anak seni, belum ada lagi pelawak baharu yang minta izin sebelum melawak,” katanya.
Memegang watak sebagai Missnin dalam filem seram komedi, Sue-On, Ropie berkata, dia sentiasa mendahulukan adab waima bekerja dengan pengarah yang lebih muda daripada dirinya.
Katanya, dia sedikit kecewa melihat segelintir pendatang baharu sekarang yang kurang hormat kepada pengarah atau penerbit semasa penggambaran.
“Zaman saya berlakon 1994 dahulu, dengar pengarah datang set sahaja kita sudah jadi takut. Sekarang ini nampak macam ‘kawan-kawan’, tak respect.
“Kalau saya, walaupun umurnya lebih muda, tetapi bergelar penerbit atau pengarah saya akan jadi takut dan hormat seperti zaman sitkom Cecupak dahulu. Pada saya, jangan ada rasa hendak bermudah-mudah,” jelasnya.
SUE-ON
Mengupas tentang filem Sue-On yang merupakan terbitan pertama Datuk Awie, Ropie berkata, dia sentiasa meletakkan matlamat untuk melakukan terbaik dalam setiap naskhah yang dijayakan.
Kongsinya, sudah menjadi tugas pelawak untuk menghiburkan penonton dan membuat mereka bergelak ketawa dengan jenaka yang dipersembahkan.
“Bagi saya semua pelawak dalam filem ini seperti Joey dan Achey sudah memainkan peranan mereka tersendiri. Dalam melawak ini mesti ada killer dan feeder.
“Sebagai pelawak, ada masa lawak kita menjadi atau sebaliknya. Apapun, kita sudah buat yang terbaik,” kongsinya.
Berkongsi pengalaman menjalani penggambaran di Taiping, Perak, Ropie berkata, terdapat babak yang perlu dirakam semula disebabkan lawak jenaka yang dibuat menyebabkan pelakon lain tidak kering gusi.
“Kalau dengan Awie asal hendak shoot mesti tergelak, tetapi bagus juga sebab daripada situ lebih banyak idea yang keluar,” katanya.
Sue-On yang ditayangkan sejak 6 Julai lalu, turut dibarisi pelakon lain seperti Reen Rahim, Azlee Senario, Nadia Mustafar, Achey, Erra Fazira dan ramai lagi.