PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan menempelak tanggapan segelintir pihak kononnya sebarang pengumuman kerajaan ialah ‘gula-gula’ politik.
Beliau dalam nada sindiran malah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak membuat apa-apa pengumuman pada bila-bila masa demi kepentingan rakyat.
“Takkan jika ada pilihan raya, kita langsung tidak boleh umum apa-apa walhal kritikan di luar semua serba-serbi pun tak kena, dulu ‘bantai’ kerajaan konon tidak tahu urus ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan sistem iPatuh Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta kerajaan agar tidak sepatutnya mengulangi budaya ‘gula-gula’ politik ketika ini dan mendakwa inisiatif diumumkan Anwar ketika melancarkan Pelan Ekonomi Madani seperti habuan menjelang pilihan raya negeri.
Ini termasuk pelbagai kredit e-tunai RM100 untuk 10 juta rakyat bergaji kurang RM100,000 setahun dan bantuan khas penghargaan RM300 untuk kepada 1.3 juta penjawat awam.
Ahmad menegaskan, sekiranya kerajaan memperoleh banyak hasil pendapatan daripada cukai, rakyat akan menerima ganjaran tanpa mengira bila masa ada pilihan raya sekali gus membuktikan Kerajaan Madani ada hala tuju mengenai polisi ekonomi yang jelas dan bukannya sekadar Perdana Menteri ‘ceramah’ bercakap kosong.
Ahmad turut menepis dakwaan pihak tertentu kononnya insentif diberikan kerajaan itu untuk persiapan kempen Anwar menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 pada 2028 kelak. – UTUSAN