Pelajar universiti awam dapat baucer subsidi RM300 tiket penerbangan

Pelajar universiti awam dapat baucer subsidi RM300 tiket penerbangan

ANTHONY Loke ketika dalam sidang akhbar di Putrajaya- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, setiap pelajar yang layak menerima baucer bernilai RM300 dan ia boleh mula ditebus pada 15 Ogos ini.

Beliau berkata, inisiatif itu dijangka memanfaatkan seramai 56,000 pelajar daripada universiti awam dengan implikasi kos keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM16.8 juta.

“Majlis pelancaran rasmi inisiatif bantuan itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah universiti awam di Lembah Kelang sebelum Hari Kebangsaan nanti.

“Buat permulaan, kos subsidi itu tahun ini akan ditanggung oleh Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum permohonan peruntukan daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi tahun berikutnya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian kredit di mana syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus.

Loke berkata, beberapa syarat dikenakan termasuk pelajar yang layak mestilah warganegara Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di universiti awam pada tahun ini.

Menurutnya, pelajar yang layak itu mestilah berasal dari Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Semenanjung dan begitu juga sebaliknya.

“Tiket yang ditebus itu hanya sah untuk pembelian tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal (Semenanjung/ Sabah/ Sarawak/ Labuan) dan tempat pelajar sedang menuntut (Semenanjung Malaysia/ Sabah/ Sarawak/ Labuan),” katanya.

Katanya, tiket penerbangan yang ditebus hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MYAirline sahaja.

Jelasnya lagi, tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Oktober ini, namun pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

Sementara itu, katanya, pelajar yang ingin menebus baucer tiket boleh membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan yang akan dimaklumkan kelak.

Katanya, pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman semasa cuti semester pengajian di samping menangani isu kos sara hidup selaras dengan aspirasi Malaysia Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN