Pelajar terbabit ujian pada hari undi boleh mohon tangguh

Pelajar terbabit ujian pada hari undi boleh mohon tangguh

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelajar universiti awam (UA) yang terbabit peperiksaan semester pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini dibenar menangguhkan peperiksaan itu dan boleh mengambilnya pada hari lain.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelajar terbabit bagaimanapun perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan universiti masing-masing dan pihak universiti akan melaksanakan peperiksaan pada hari lain.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya difahamkan hanya Universiti Utara Malaysia (UUM) yang melaksanakan peperiksaan pada hari berkenaan (12 Ogos).

“Saya dimaklumkan, UUM sudah keluarkan arahan dan pelajar yang terbabit pengundian pada hari itu dikecualikan mengambil peperiksaan.

“Tiada isu besar timbul kerana PRN bukan berlaku di seluruh negara sebaliknya hanya membabitkan enam negeri sahaja iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Kelantan dan Terengganu sahaja.

“Jadi pelajar lain yang tidak terbabit pengundian boleh mengambil peperiksaan seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, isu itu dikesan hanya berlaku di UUM kerana universiti itu sahaja yang melaksanakan peperiksaan pada hari Sabtu dan kebetulan jatuh pada hari pengundian PRN.

Mohamed Khaled berkata, perkara itu sudah dibincangkan dan tiada isu berbangkit mengenainya, malah UUM akan mengatur hari peperiksaan lain untuk pelajar terbabit.

Menurutnya, pihaknya juga tidak merancang untuk melanjutkan cuti semester bagi memudahkan pelajar di enam negeri melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi kerana kebetulan tarikh PRN jatuh pada cuti semester.

“Tiada ekstra (cuti tambahan) kerana semua universiti dah habis semester belajar dan ketika ini pelajar baharu sedang mendaftar masuk.

“Pelajar yang baharu mendaftar universiti kena sambung belajar macam biasa dan kebanyakannya masih belum cukup umur layak mengundi (18 tahun),” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, pelajar universiti tempatan dijangka tiada halangan untuk menunaikan tanggungjawab pada PRN ini memandangkan kebanyakannya telah selesai menjalani peperiksaan akhir semester.

Menurutnya, majoriti pelajar terbabit dijangka sudah pulang ke kampung masing-masing pada tarikh tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya