ARAU: Seorang pekerja pembersihan terkejut apabila menemukan dua butir bom mortar di bawah katil sebuah rumah ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di kediaman berkenaan di Taman RPA, Mata Ayer di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 7 petang daripada orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan dua butir bom tersebut.
“Hasil siasatan mendapati dua unit bom mortar itu ditemukan di bawah katil di dalam bilik rumah berkenaan oleh seorang lelaki (pekerja pembersihan).
“Lelaki berkenaan kemudian bertindak mengalihkan bahan letupan itu ke kawasan lapang berhampiran Dewan Orang Ramai Taman RPA Mata Ayer,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, siasatan lanjut mendapati rumah berkenaan adalah peninggalan seorang pesara tentera yang telah menamatkan perkhidmatan sejak tahun 1980.
Katanya, sejak pemilik rumah berkenaan meninggal dunia pada tahun 2013, kediaman tersebut ditinggalkan dan tidak berpenghuni sehingga kini.
“Waris pemilik rumah itu telah mengarahkan kontraktor melakukan pembersihan untuk menjual kediaman itu sebelum menemukan dua butir bom berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Mohsin berkata, Unit Persenjataan/Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis juga telah ke lokasi kejadian.
Katanya, pemeriksaan mendapati bom tersebut adalah merupakan jenis Mortar 81MM Illuminating yang digunakan untuk tujuan latihan.
Ujarnya, bom tersebut juga didapati berada dalam keadaan berkarat dan tidak lagi aktif.
“UPB IPK Perlis juga akan melaksanakan tindakan pemusnahan hari ini dan tiada sebarang ancaman keselamatan lain dikesan.
“Selain itu, tiada kecederaan dialami oleh pemberi maklumat atau mana mana orang awam dalam kejadian itu,” katanya. -UTUSAN