HULU TERENGGANU: Seorang pekerja kilang papan wanita maut setelah motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 35, Jalan Kuala Terengganu – Bukit Besi, di Tok Randok, dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi itu, mangsa, Wan Nor Aziera Anisya W. Mazlan, 23, dari Kampung Durian Kasim, Ajil di sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera di kepala.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Hasmerra Hassan berkata, kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaaan (SK) Tok Randok, Ajil itu melibatkan motosikal jenis Yamaha Ego dan Proton X70 dipandu seorang guru wanita.
“Kemalangan dipercayai berlaku sewaktu mangsa dalam perjalanan dari arah Kampung Durian Kasim menghala ke tempat kerja di Pekan Ajil.
“Tiba di lokasi, mangsa terlanggar kenderaan dipandu guru yang membelok ke kanan dari arah berlawanan. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian manakala guru wanita berusia 55 tahun pula tidak cedera,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 APJ. – UTUSAN