Pekerja kilang haram panjat pagar, bersesak elak dicekup - Utusan Malaysia

Pekerja kilang haram panjat pagar, bersesak elak dicekup

Kilang haram
Kerajaan dicadang kembalikan pengambilan pekerja asing melalui JTK dan bukan kepada ejen. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cubaan puluhan pekerja asing sebuah kilang barangan lusuh haram di Bukit Kemuning, di sini, meloloskan diri dengan memanjat pagar dan bersesak gagal apabila dicekup polis semalam.

Malah, ada daripada mereka sanggup mengaku sebagai penuntut universiti awam dan datang ke premis berkenaan untuk menemui rakan bagi mengelak ditangkap.

Tangkapan itu dibuat menerusi serbuan dilakukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Task Force Pejabat Strategik Nasional (NSO) Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), kira-kira pukul 4 petang.

Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom,  Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, Op Bersepadu Pintas itu turut dijalankan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Menurutnya, seramai 52 warga asing termasuk dua wanita berusia lingkungan 22 hingga 45 tahun ditahan bagi tindakan mengikut Akta Imigresen 1969/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka terdiri daripada 22 warga Myanmar, Bangladesh (16), China (11), Kemboja (2) dan seorang Nigeria. Selain itu, dua pekerja bawah umur berusia 16 dan 17 tahun yang disyaki dieksploitasi juga diselamatkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Fadil, pihaknya turut menahan enam lelaki warga China berusia 25 hingga 42 tahun yang berperanan sebagai pengurus dan pembantu kilang tersebut.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom 2007. Siasatan awal mendapati kilang itu tidak mempunyai lesen perniagaan dan dipercayai beroperasi sejak setahun lalu,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua tangkapan direman selama 14 hari sehingga 4 Ogos depan bagi membantu siasatan.

“Dua mangsa yang diselamatkan pula telah memperoleh Perintah Perlindungan Interim (IPO) selama 21 hari sehingga 11 Ogos ini. Operasi itu dijalankan bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dan ekploitasi buruh paksa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya