Peguam mohon timbalan pendakwa raya tarik diri kes Guan Eng

Peguam mohon timbalan pendakwa raya tarik diri kes Guan Eng

LIM Guan Eng tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan Lim Guan Eng memohon seorang timbalan pendakwa raya (TPR) menarik diri daripada menganggotai pasukan pendakwaan kerana pegawai berkenaan berpotensi dipanggil sebagai saksi dalam kes berkenaan.

Peguam Gobind Singh Deo memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, TPR Nik Haslinie Hashim turut mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes G. Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam yang mana wang yang menjadi asas kepada pertuduhan, diserahkan kepada ahli perniagaan itu.

Nota prosiding dan pernyataan bertulis saksi-saksi dalam kes di Shah Alam menunjukkan wang RM2 juta dikeluarkan melalui baucar pembayaran dan cek, diserahkan kepada Gnanaraja.

Sebaliknya, dalam kes Guan Eng di ibu negara, keterangan juga menunjukkan baucar pembayaran dan cek yang sama dikemukakan dan telah ditandakan sebagai eksibit P140 dan P141, namun wang RM2 juta itu diserahkan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Gobind mempertikai penglibatan Nik Haslinie dalam pasukan pendakwaan kerana beliau berpotensi untuk dipanggil sebagai saksi bagi menjelaskan percanggahan fakta dalam kedua-dua kes, walhal ia melibatkan wang yang sama.

“Nik Haslinie merupakan saksi yang material bagi menjelaskan siapa yang memberi arahan supaya menyembunyikan keterangan (berhubung wang yang menjadi subjek dalam pertuduhan) kerana kami percaya wujud penyembunyian maklumat di peringkat tertinggi dalam kes Guan Eng. Nik Haslinie merupakan TPR yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes di Shah Alam dan beliau juga terlibat dalam kes Guan Eng dan mendengar saksi-saksi memberi keterangan.

“Nik Haslinie perlu menarik diri daripada terlibat dalam pasukan pendakwaan di ibu negara kerana tidak sesuai jika beliau terus berada di mahkamah dan mendengar keterangan saksi-saksi kes ini. Penglibatan beliau boleh menjadi isu bagi tindakan menghina mahkamah dan saya memohon arahan mahkamah berhubung perkara itu,” hujah Gobind.

Sementara itu, TPR Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Guan Eng berhujah, pertikaian terhadap Nik Haslinie tidak sesuai dibangkitkan pada peringkat itu kerana saksi-saksi belum selesai memberi keterangan.

“Isu berhubung Nik Haslinie adalah pramatang dan tiada asas untuk mengecualikan beliau pada peringkat ini. Jika peguam bercadang memanggil beliau sebagai saksi pembelaan kelak, saya tiada bantahan,” hujah beliau.

Dalam pada itu, seorang lagi TPR, Ahmad Akram Gharib turut berhujah, tidak adil untuk membangkitkan isu penyembunyian dan memalsukan keterangan pada peringkat ini.

Hujah beliau, ini kerana kes pendakwaan masih belum selesai dan saksi-saksi lain akan dipanggil memberi keterangan termasuk Gnanaraja. Ahmad Akram berkata, ketika ini pendakwaan tidak menerima permohonan bertulis untuk memanggil Nik Haslinie sebagai saksi.

“Tidak adil untuk menimbulkan isu penyembunyian keterangan melainkan pihak pembelaan mempunyai asas yang kukuh. Kami hanya menjalankan tugas dan kes ini melibatkan kepentingan umum dan menjadi perhatian pelbagai pihak. Jangan membuat tohmahan (isu penyembunyian maklumat) kerana pendakwaan perlu menjawab kepada pihak atasan. Mohon tuduhan itu ditarik balik,” hujah Ahmad Akram.

Pada peringkat itu, Hakim Azura Alwi menyatakan, tiada apa-apa permohonan bertulis dikemukakan yang menghalang Nik Haslinie menganggotai pasukan pendakwaan manakala isu penyembunyian keterangan boleh dihujahkan kelak.

“Jangan mohon arahan saya kerana setakat ini tiada `hitam putih’. Jika perlu buat permohonan, pihak pembelaan boleh memohonnya,” ujar Azura.

Pertikaian mengenai penglibatan Nik Haslinie dibangkitkan oleh pasukan pembelaan sebelum mahkamah mendengar keterangan bekas Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang, Datuk Akmar Omar, 63, yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-35.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta.

Wang itu sebagai tindakan membantu syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah CZBUCG.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR. Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini. Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang emperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN