Pegawai polis terima 36 jahitan akibat diserang pencuri 82 tahun

Pegawai polis terima 36 jahitan akibat diserang pencuri 82 tahun

KEADAAN dada pegawai polis yang cedera selepas diserang seorang lelaki dalam kejadian di Taman Selasih, Kulim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang pegawai polis berusia 30-an menerima 36 jahitan di dada akibat terkena pisau pemotong kertas yang digunakan seorang pencuri warga emas dalam kejadian di Taman Selasih, di sini pada pukul 10.45 pagi ini.

Dalam kejadian itu, seorang anggota polis turut cedera di kaki dan menerima lima jahitan ketika bergelut untuk menahan suspek lelaki yang berusia 82 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, polis pada mulanya menerima panggilan mengenai kes curi di sebuah pasar raya yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Sepasukan polis diketuai pegawai risikan dan operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pergi ke tempat kejadian dan mendapati suspek telah melarikan diri dengan menaiki motosikal.

“Pasukan polis menemukan suspek yang berhenti di hadapan sebuah rumah di Taman Selasih dan semasa pegawai memperkenalkan diri, suspek mengambil sesuatu di dalam raga motosikal lalu menghayun ke arah pegawai terbabit yang menyebabkan kecederaan di bahagian dada.

“Anggota terbabit yang bertugas di Cawangan D9 IPD Kulim cuba menahan suspek dan berlaku pergelutan yang menyebabkan dia turut mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd. Redzuan berkata, polis berjaya menahan suspek bersama sebilah pisau pemotong kertas dan merampas pelbagai barangan yang dipercayai dicuri di pasar raya berkenaan. 

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau, namun ujian awal air kencing mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan Seksyen 380 kanun sama kerana mencuri di dalam bangunan.

Sementara itu, Mohd. Redzuan memaklumkan, pegawai dan anggota terbabit yang juga berusia 30-an kini menerima rawatan di Hospital Kulim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya