KANGAR: Pasar Nelayan Bergerak atau dikenali sebagai Pasar Nelayan Mobile merupakan usaha dilaksanakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memendekkan aliran rantaian penyaluran bekalan ikan kepada pengguna.
Usaha tersebut juga turut membantu dalam memaksimumkan pendapatan nelayan di negara ini secara terus tanpa pembabitan orang tengah.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pelaksanaan inisiatif itu mampu mengekang pembabitan orang tengah yang cuba mengawal harga pasaran ikan khususnya sewaktu keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.
“Kaedah pemasaran secara terus ke Pasar Nelayan ini mampu mengurangkan peranan orang tengah dan sekali gus meningkatkan margin keuntungan malah pengguna turut mendapat bekalan ikan segar pada harga yang berpatutan.
“Dalam memperkukuhkan dan mengembangkan platform jualan, skop perlaksanaan Pasar Nelayan juga diperluaskan kepada konsep mobile bagi memastikan sumber bekalan ikan segar akan dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya ketika ditemui pada Program Rahmah Mesra Madani di Dewan Persatuan Nelayan Kawasan Perlis Selatan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, hasil laut yang dijual di Pasar Nelayan Mobile ini juga adalah 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran dan ia dapat membantu dalam membangunkan ekonomi nelayan.
Beliau juga menjangkakan inisiatif ini mampu menambah pendapatan nelayan sekitar lima hingga 10 peratus.
“Usaha ini juga secara tidak langsung akan menaikkan semangat nelayan untuk meningkatkan produktiviti tangkapan.
“Rakyat juga perlu dididik dengan inisiatif ini di mana sekiranya mereka mahukan ikan segar dan murah maka mereka boleh mendapatkannya di pasar nelayan atau membuat pesanan melalui telefon.
“Cara pembayarannya juga boleh dibuat secara tunai semasa penghantaran atau pembelian secara dalam talian kepada persatuan nelayan kawasan (PNK) sendiri,” katanya.
Tambahnya, bagi melancarkan pelaksanaan inisiatif itu, sebanyak 20 buah motosikal yang dilengkapi kotak penghantaran dan baju hujan turut dibekalkan oleh LKIM kepada 16 persatuan nelayan seluruh negara.
“Projek rintis ini dimulakan dengan membabitkan PNK Perlis Selatan dan ia akan diperluaskan ke 15 lagi PNK selepas ini,” katanya.-UTUSAN