KUALA TERENGGANU: Pasar Kedai Payang baharu di sini akan menjadi tarikan pelancong untuk membeli-belah, seterusnya memberi impak ekonomi di negeri ini apabila dibuka tidak lama lagi.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman, berkata, bangunan baharu pasar tersebut yang berharga RM69.3 juta dibina ketika di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) ketika beliau menjadi Menteri Besar pada tahun 2017
Menurutnya, difahamkan bangunan pasar itu yang bakal menjadi tumpuan pelancong di negeri ini dijadual diserah kepada pihak berkuasa tempatan untuk beroperasi dalam tempoh terdekat.
“Lebih 500 peniaga yang kini ditempatkan di tapak sementara bersebelahan akan dipindahkan ke bangunan baharu pasar terkenaan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pasar Kedai Payang di sini, hari ini.
Turut melawat pasar tersebut ialah calon BN DUN Bandar, Armi Mizan Mohd. dan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail.
Pasar Kedai Payang mula beroperasi pada 31 Ogos 1968 selepas dirasmikan Sultan Terengganu ke-18, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong keempat.
Ahmad Razif memberitahu, mengikut perancangan awal, pasar sementara itu akan diubah suai menjadi pusat konvensyen selepas kesemua peniaga berpindah ke bangunan baharu pasar tersebut.
Bagaimanapun, tambahnya, kerajaan negeri sekarang ingin mengekalkan pasar tersebut sebagai pasar basah dan pasar seni kraftangan..
“Rancangan kerajaan negeri itu akan membebankan PBT untuk menyelenggara dua buah pasar secara serentak dan saya bimbang pasar baharu ini pula kurang pengunjung dan jadi projek gajah putih.
“Tidak perlu asing-asingkan pasar tersebut kerana dibimbangi tidak akan dapat menarik perhatian pengunjung terutama pelancong seperti yang berlaku kepada Bazar Warisan sekarang,” ujarnya. – UTUSAN