PASIR MAS: Memasang kekuda atau mencari kedudukan selesa merupakan teknik penting diamalkan Imam Tua Masjid Ar-Rahman Mukim Tok Uban, Syeikh Kyairder Syamzarey Wan Idris setiap kali melakukan sembelihan korban.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, teknik itu bukan sahaja membuatkan daging menjadi manis malah lembut dan kurang berminyak.
“Sebelum melakukan sembelihan, saya akan memasang kekuda. Hal ini bagi memastikan tugas itu dapat dilakukan dengan sempurna.
“Pada masa sama, saya perlu melihat pernafasan haiwan tersebut dan melakukan sembelihan ketika binatang itu sedang menghembuskan nafas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Syeikh Kyairder memberitahu, penggunaan pisau yang paling tajam amat dituntut dalam sembelihan bertujuan untuk tidak menyakiti binatang tersebut.
Katanya, sembelihan pantas bermula daripada tepi leher bawah sehingga atas akan menyebabkan kesemua urat utama serta sunat iaitu urat halkum, urat marih dan dua urat wajdain akan putus dengan sempurna yang mempercepat proses kematian.
“Teknik ini menjadikan daging lebih manis, lembut dan tidak berlemak. Hal ini kerana sembelihan menggunakan pisau yang paling tajam dan hirisan pantas tidak menyakitkan binatang korban.
“Antara tanda-tanda sembelihan sempurna ialah darah memancut keluar dengan kuat dan binatang tidak mengeluarkan najis ketika proses sembelihan bermula hingga selesai. Situasi itu menandakan haiwan itu tidak sakit ketika disembelih,” jelasnya. – UTUSAN