Pas dakwa gelombang anak muda tolak PH-BN semakin dahsyat

Pas dakwa gelombang anak muda tolak PH-BN semakin dahsyat

SIAPA pilihan anak muda pada PRN di enam negeri tidak lama lagi. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas Kedah menyifatkan gelombang rakyat khususnya dalam kalangan anak muda untuk menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semakin dahsyat dan sukar untuk dibendung.

Malah, berdasarkan situasi itu, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tidak mustahil negeri-negeri selesa dikuasai PH-BN bakal merebah ke bumi untuk diambil alih oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

AHMAD YAHAYA

Katanya, antara faktor yang membawa kepada keadaan itu adalah disebabkan politik fitnah yang terus dimainkan oleh kepimpinan PH-BN yang sedang memakan diri sendiri tanpa mereka sedari.

“Satu demi satu fitnah yang cuba dihamburkan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor direncanakan bagi menjatuhkan reputasi cemerlang beliau ketika ini.

“Ironinya, situasi sebaliknya berlaku. Fitnah tersebut sedang menggali perkuburan PH-BN dengan lebih dalam. Segala tohmahan dan fitnah yang ditujukan kepada kepimpinan Menteri Besar telah dijawab dan ia menggambarkan menteri tidak tahu selok-belok pentadbiran,” katanya. 

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, seluruh kementerian Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan PH-BN dikerahkan untuk menjatuhkan imej serta karakter seorang Menteri Besar di sebuah negeri.

Bagaimanapun ujarnya, sangat tragis apabila didapati perancangan pihak terbabit bukan sahaja gagal, bahkan sokongan kepada Muhammad Sanusi pula semakin melonjak naik.

“Naratif ‘Sanusi tidak berbuat apa-apa’ sebenarnya membuka cerita era pemerintahan sebelumnya yang sekadar menangguk di air keruh.

“Pas Kedah yakin PH-BN tidak ada modal lain yang lebih kuat untuk diketengahkan dalam PRN kali ini. Malah, ‘poster boy’ mereka sendiri tidak terlawan dengan aura yang dibawa oleh Muhammad Sanusi,” katanya. 

Tambah Ahmad, PH dan BN juga semakin hilang keyakinan terhadap ‘poster boy’ mereka sehingga memaksa seluruh menteri yang berada di Putrajaya turun beraksi di negeri Jelapang Padi itu.

“Insya-Allah rakyat di keenam-enam negeri khususnya Kedah sudah pun bersedia untuk memastikan PH-BN tersungkur menyembah bumi dan Muhammad Sanusi sedang memimpin kebangkitan ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya