KUALA TERENGGANU: Pas mencadangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan selepas parti itu membuat keputusan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap petisyen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan Pas tersebut dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini, hari ini.
Menurutnya, Pas telah berbincang secara panjang lebar dari segi pro dan kontra aspek perundangan mengenai perkara tersebut.
“Kita (Pas) mengharapkan apabila kita buat keputusan tidak merayu, pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) boleh mengadakan PRK itu serentak dengan PRN.
“Kita ada tiga minggu lagi sebelum penamaan calon. Kita yakin SPR mempunyai kemahiran dan kecekapan untuk selesaikan serentak pada tarikh sama,” katanya ketika demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini, hari ini.
Takiyuddin memberitahu, Pas mengambil keputusan tidak mahu mengemukakan petisyen tersebut kerana tempoh untuk menyelesaikan rayuan pestisyen itu mengambil masa lima hingga enam bulan dan rakyat di kawasan tersebut akan terabai.
“Kita ada dua pilihan sama ada kita merayu atau kita tidak merayu, sekiranya kita merayu, kita perlu menunggu masa lebih lama lagi, untuk tempoh enam bulan pada tarikh dimansuhkan baru boleh diselesaikan di peringkat Mahkamah Persekutuan.
“Jadi kita merasakan sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab dan sebuah kerajaan yang memerintah negeri ini, kita tidak mahu rakyat terabai.
“Sebab dalam tempoh lima atau enam bulan ini, tidak ada Ahli Parlimen (Kuala Terengganu). Itu antara salah satu sebab (tak buat rayuan), menunjukkan Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan kepentingan rakyat,” katanya.
Ditanya mengenai keyakinan Pas mengekalkan kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu, Takiyuddin berkata, jumlah undian yang diperoleh Ahmad Amzad sebanyak 63,016 adalah satu penanda aras parti itu akan terus mendapat sokongan rakyat.
“Kita bukan takbur, tapi berdasarkan sokongan di peringkat rakyat jelata, memang kita optimis (boleh menang). Kita mengharapkan apabila kita buat keputusan tidak merayu, pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) boleh mengadakan PRK itu serentak dengan PRN.
“Kita ada tiga minggu lagi sebelum penamaan calon. Kita yakin SPR mempunyai kemahiran dan kecekapan untuk selesaikan serentak pada tarikh sama,” katanya.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Ahmad Amzad Hashim di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Firuz Jaffril, membenarkan petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zubir Embong, selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Bagaimanapun, dalam satu lagi petisyen, parti itu mengekalkan kemenangannya bagi kerusi Parlimen Marang yang dimenangi oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Pada 5 Julai lalu, SPR menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos sebagai hari pengundian.
Enam negeri terlibat ialah Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.
UTUSAN
TAKIYUDDIN HASSAN