Parkir percuma, itu sahaja PN Selangor mampu tawar - Amirudin - Utusan Malaysia

Parkir percuma, itu sahaja PN Selangor mampu tawar – Amirudin

Parkir
AMIRUDIN Shari menandatangani plak sebagai simbolik perasmian tapak projek GRIP Kota Puteri, di Gombak, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Tawaran pemansuhan caj parkir di sekitar utara Selangor oleh Perikatan Nasional (PN) negeri ini disindir Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyifatkan parti itu kekeringan idea untuk meraih sokongan rakyat.

Beliau berkata, tawaran tersebut hanya usaha kecil berbanding pelbagai dasar yang sudah dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) di Selangor dan bakal menjadi pertimbangan pengundi untuk terus mengundi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

“Kerajaan negeri dipimpin PH menawarkan pembangunan, peluang pekerjaan kepada rakyat tapi itu sahaja beliau mampu tawarkan. Tapi tak apalah. 

“Biarkan beliau tawarkan parkir percuma itu cuma kena ingat implikasi buat parkir percuma ini di kawasan komersial,” katanya selepas melancarkan projek Taman Perindustrian Hijau (GRIP) Kota Puteri, hari ini.

Beliau menjelaskan, PN jika membentuk kerajaan negeri perlu membayar pampasan kepada konsesi yang menyediakan kemudahan berbayar tersebut sebagai ganti rugi.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri sebelum 2008 menandatangani persetujuan caj parkir dengan beberapa syarikat konsesi berkenaan.

“Konsesi ini boleh saman kerajaan negeri sekiranya tak bayar pampasan bagi merealisasikan janji parkir percuma ini.  Beliau (Mohamed Azmin) tahu hal ini tetapi berani membuat janji. Namun, tak mengapa sebab itu janji dia pada pengundi kawasan Selangor Utara,” ujarnya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan Mohamed Azmin berikrar untuk mengecualikan bayaran parkir di kawasan utara Selangor sekiranya PN berjaya menjadi kerajaan negeri selepas PRN.

Beliau berkata, hal itu tidak menjadi masalah kerana Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi mempunyai pengalaman mentadbir Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN