Pam tandas seramik hempap murid ditukar jenis plastik - Utusan Malaysia

Pam tandas seramik hempap murid ditukar jenis plastik

MUHAMAD Arafat Varisai Mahamad (tengah) melihat pam tandas yang jatuh dan menimpa murid perempuan SK Perpaduan di Ipoh. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perbincangan akan dilakukan untuk menilai keperluan menukar semua pam tandas jenis seramik kepada plastik atau PVC, susulan kejadian pam tandas jatuh menghempap seorang murid perempuan di Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan di sini.

Kejadian yang berlaku pada petang Selasa lalu menyebabkan murid darjah tiga di sekolah tersebut cedera dan bengkak di kepala.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, perbincangan akan diadakan antara pihak berwajib termasuk pendidikan negeri serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata, kejadian difahamkan berpunca akibat masalah berkaitan pendakap pam tandas itu sehingga terjatuh semasa murid menggunakan tandas.

“JKR maklum sekiranya pendakap sepenuhnya diikat, keadaan akan selamat. Pada masa sama kita akan bincang semula sama ada tukar kepada jenis plastik atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan di sini hari ini.

Susulan kejadian, tandas murid di sekolah itu ditutup sementara dan semua murid dibenarkan menggunakan tandas guru.

Tambah Muhamad Arafat, pelbagai bantuan akan diberikan kepada murid tersebut termasuk kaunseling bagi mengatasi perasaan trauma.

Beliau juga berkata, perkara tersebut turut dimaklumkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan hal berkenaan dipandang berat oleh menteri.

Sementara itu, ibu kepada murid berkenaan, Nor Azizawati Binti Ismail, 37 tahun melahirkan rasa lega kerana kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan kritikal setelah mendapatkan rawatan di hospital.

“Saya terima panggilan daripada sekolah pada petang tersebut. Saya terkejut dan mengharapkan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya yang juga seorang surirumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya