SABAK BERNAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berterusan menegaskan kengganannya mengambil gaji sebagai Perdana Menteri sehingga ekonomi negara pulih walaupun memakan masa sehingga tiga atau empat tahun.
Menurutnya, beliau malu mengambil gaji ketika rakyat dan negara bergelut dalam kemelesetan ekonomi dan menganggap penerimaan elaun sebagai ahli parlimen memadai disamping kemudahan disediakan kepadanya sebagai pemimpin kerajaan.
“Jadi saya tak ambil kerana saya malu, elaun ahli parlimen sudah ada cukuplah, kereta ada, pergi mana-mana polis jaga, pesawat, helikopter ada bukan saya punya tetapi kerajaan punya untuk digunakan Perdana Menteri atas urusan kerja.
“Biarlah kita dalam setahun dua ini tengok dahulu, selesaikan masalah-masalah rakyat kemudian bila keadaan katalah tiga, empat tahun keadaan sudah baik, hendak ambil gaji oklah. Itu pun salah, dicerca dihina,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor, hari ini.
Beliau menambah, meskipun usahanya itu diperlekeh, namun perkara itu dianggapnya lebih baik berbanding menerima gaji tetapi tidak bekerja atau melaksanakan tugas dengan baik.
“Sebab apa saya ambil gaji, tak apalah sebab dia kaya, kena juga. Ini orang kaya-kaya dahulu yang kaya berbilion-bilion ringgit masih ambil gaji, kamu tak soal. Orang yang ambil gaji sama ada dia pakai kopiah, atau songkok, serban tetapi tak kerja, kamu tak soal. Ini masalah kita, tegasnya,”
Anwar menambah, matlamat dan hala tuju ekonomi di bawah pentadbirannya kini sedang dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini dan berharap pegawai daerah, penghulu dan ketua-ketua kampung dapat memastikan ketepatan golongan sasar.
Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam sidang akhbar pertamanya sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri memaklumkan tidak mengambil gaji dan elaun untuk jawatan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut mengulangi usaha kerajaan melaksanakan kerja-kerja di peringkat bawahan seperti baik pulih kemudahan di sekolah, klinik desa serta keperluan asas bagi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kedua, sekolah anak-anak kita, sekolah kebangsaan, agama, Tamil, Cina, semua sekolah tengok tandasnya, kemudahannya, bumbung, pintu kipas ada ke tidak, kita buat dulu.
“Sebab itu saya kata tadi saya turun helikopter dari IPD (Ibu pejabat Polis Daerah Sabak Bernam), saya pergi tengok tandas IPD, lepas itu pergi ke sekolah rendah agama, pergi ke bilik darjah, kemudian pergi tengok tandas.
“Nanti mereka komenlah pula malam ini berceramah itulah Perdana Menteri Inspektor Tandas, saya tak peduli panggillah saya Anwar ‘Inspektor Tandas’, alhamdulillah tak apa saya bangga kerana sekurang-kurangnya saya kerja sampai di bawah,” ujarnya. – UTUSAN