SHAH ALAM: ‘Orang ingat saya nak pergi kahwin’
Demikian respons Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, berseloroh sebaik tiba di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam sekitar pukul 9:10 pagi tadi.
Shuhada hadir bagi mendengar keputusan pengesahan lafaz cerai dengan pelakon Hafidz Roshdi, 29, di hadapan Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin dalam pakaian serba putih.
“Insya-Allah hari ini akan selesai. Doakan yang terbaik untuk saya.
“Hari ini saya bangun dengan semangat. Tadi terjumpa orang, mereka ingat saya nak nikah. Saya kata tak, nak pergi cerai, terkedu mak cik itu.
“Doakan saya ya semua,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia
Dalam perbicaraan hari ini Hafidz diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abd Kadir, manakala Nurul Shuhada diwakili peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf.
Terdahulu Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan pengesahan lafaz cerai hari ini di hadapan Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin.
Sebelum ini, peguam syarie mewakili Hafidz iaitu Ummi Kartini Abd Latiff memaklumkan terdapat lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku sebanyak dua kali.
Nurul Shuhada mendakwa suaminya ada melafazkan cerai melalui aplikasi WhatsApp pada Januari.
Hafidz turut dilaporkan melafazkan cerai kepada Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing kali kedua 22 Februari lalu.
Shuhada memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Februari lalu.
Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya.