CYBERJAYA: Seorang calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil panik apabila dikesan memakai baju dengan logo parti ketika masuk ke dewan penamaan calon di Dewan Semarak, di sini hari ini.
Calon Parti Utama Rakyat (PUR), Datuk Mohd. Daud Leong Abdullah, 58, kemudian diarah menukar baju oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mohd. Daud dikesan memakai kemeja putih tertera logo parti politik itu dan beliau kemudian segera menukar pakaian sebelum masuk semula ke dewan untuk penamaan calon.
Katanya, beliau akur dengan arahan SPR dan mendapatkan baju lain daripada penyokong yang hadir.
“Saya menghormati arahan SPR dan masa pencalonan juga masih belum ditutup,” katanya.
Pencalonan DUN Dengkil menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Datuk Mohd. Daud, Noorazli Said (BN), Datuk Seri Jamil Salleh (PN) dan Darren Ong (PSM).
DUN Dengkil sebelum ini dimenangi Adhif Syan Abdullah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14).
Proses penamaan calon berjalan lancar dengan kumpulan penyokong parti mula berkumpul seawal 7.30 pagi. – UTUSAN