CYBERJAYA: Seorang calon bertanding pilihan raya negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil mencetuskan panik apabila dikesan memakai baju dengan logo parti ketika masuk ke dewan penamaan calon di Dewan Semarak, di sini hari ini.
Calon Parti Utama Rakyat (PUR), Datuk Mohd. Daud Leong Abdullah, 58, kemudian diarah menukar baju oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mohd. Daud dikesan memakai kemeja putih tertera logo parti politik itu dan beliau kemudian segera menukar pakaian sebelum masuk semula ke dewan untuk penamaan calon.
Katanya, beliau akur dengan arahan SPR dan mendapatkan baju lain daripada penyokong yang hadir.
“Saya menghormati arahan SPR dan masa pencalonan juga belum ditutup,” katanya.
Pencalonan DUN Dengkil menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Datuk Mohd Daud, Noorazli Said (Barisan Nasional), Datuk Seri Jamil Salleh (Perikatan Nasional) dan Darren Ong (PSM). – UTUSAN