CINDERELLA pernah mencipta fenomena ketika ia ditayangkan di TV3 pada 1998. Diarahkan Din CJ dan skrip oleh Allahyarham Mohd. Noor Kadir, drama tersebut diangkat sebagai naskhah hebat yang diminati sehingga ke hari ini.
Pelakon dan pengarah, Datuk Ahmad Idham, 49, yang bergandingan dengan Haliza Misbun, 51, dalam drama berkenaan tidak henti-henti menyebut tentangnya ketika ditemui penulis dalam sebuah majlis yang diadakan baru-baru ini.
Beliau mengakui kehebatan Cinderella yang telah memperkenalkannya kepada peminat drama tempatan satu masa lalu. Ahmad Idham bersyukur kerana disebabkan drama itu, beliau kekal dalam industri seni sehingga hari ini.
“Saya berlakonlah cerita apa sekalipun, orang tetap ingat saya sebagai pelakon Cinderella. Alhamdulillah, orang masih kenal saya disebabkan fenomena yang dicetuskan drama itu.
“Saya bersyukur kerana bukan senang bagi seseorang pelakon diingati kerana hasil lakonannya 25 tahun dulu. Dan saya tak kisah kalau orang tak ingat drama atau filem lakonan saya yang lain disebabkan populariti Cinderella,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Ahmad Idham memulakan kerjaya lakonan sekitar 1994 selepas dia menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara.
Kemunculannya pertamanya adalah menerusi drama Identiti yang disiarkan di TV3. Bagaimanapun, kehadirannya dalam dunia lakonan mula disedari penonton menerusi watak Salman dalam Cinderella.
Berkongsi lanjut, pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah ini mendedahkan tentang peminat yang ingin melihat beliau disatukan semula dengan Haliza menerusi penghasilan semula drama Cinderella yang baharu.
“Pada saya, perkara itu mustahil kerana penulis skripnya, Mohd. Noor sudah meninggal dunia dan pada masa sama, pelakon-pelakon drama tersebut sudah pun berusia.
“Saya juga khuatir drama itu tidak menjadi sekiranya ia dibuat semula. Malah, saya risau ia merosakkan imej Cinderella yang satu masa dahulu telah mencipta fenomena.
“Saya tak mahu drama seperti ini menerima nasib seperti drama lain, yang kurang mendapat sambutan apabila ia dibuat semula. Saya percaya, Cinderella tidak perlu dihasilkan semula, biar ia stand alone (berdiri sendirinya),” katanya lagi.
MASIH MENGARAH, BERLAKON
Bercerita tentang kehilangannya dari dunia seni filem dan drama beberapa tahun sudah, Ahmad Idham menegaskan beliau tidak pernah berhenti mengarah dan berlakon.
Sebaliknya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) ini mengambil tempoh berehat sementara sepanjang ketiadaannya dari dunia seni tanah air beberapa tahun sebelum ini.
“Memang saya perlahankan aktivti pengarahan dan lakonan bermula tahun 2016 untuk memberi tumpuan kepada sekolah kanak-kanak istimewa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang saya tubuhkan.
“Saya berehat daripada dunia filem dan drama sebab sambutan filem dan drama saya semakin kurang memberangsangkan. Kemudian pada 2019 pula saya sertai Finas dan sibuk dengan tugasan yang dipertanggungjawabkan ketika bersama perbadanan tersebut.
“Selepas itu, saya teruskan dengan kerja-kerja kaji selidik dan kembangkan networking dengan terbang ke luar negara termasuk Korea untuk mengkaji drama dan filem di sana. Saya harap dapat menyumbang semula kepada industri seni tempatan dengan kembalinya saya dalam dunia perfileman dan drama pada tahun ini,” jelasnya.
TOLAK WATAK TEMPELAN
Ahmad Idham menyifatkan kemunculannya menerusi drama Bukan Sekadar Lafaz yang mula ditayangkan 22 Jun lalu di TV3 sebagai langkah untuk kembali aktif dalam dunia lakonan.
Katanya, dia tidak berfikir panjang untuk bersetuju melakonkan watak seorang bapa yang berlainan dan mencabar.
“Saya tidak menolak apabila diminta berlakon dalam drama tersebut kerana pihak TV3 menerima syarat saya yang enggan melakonkan watak tempelan. Buat masa ini, saya telah selesaikan 20 episod untuk drama berkenaan.
“Dalam drama itu, saya melakonkan watak Tuan Zaman, suami kepada Kuza, yang juga bapa kepada Wanna Ali,” kongsinya.
Kata Ahmad Idham lagi, dia tertarik untuk melakonkan watak tersebut kerana impak besar yang dibawakan Tuan Zaman terhadap penceritaan dalam drama itu.
“Watak ini aktif berpersatuan, membantu gadis-gadis muda yang hamil anak luar nikah. Namun, dia berdepan pelbagai konflik, terpaksa menyorokkan anak kandungnya sendiri yang juga hamil anak luar nikah.
“Pada saya Tuan Zaman adalah watak mencabar dan bukan karakter yang skeptikal. Sebelum bersetuju untuk berlakon dalam drama itu, saya meletakkan syarat kepada TV3 agar mereka berikan saya watak yang menyumbang kepada penceritaan drama tersebut. Bukan watak tempelan,” ujarnya. – MINGGUAN MALAYSIA