GUA MUSANG: Penubuhan parti politik dalam kalangan masyarakat Orang Asli dibimbangi boleh mengundang perpecahan kepada komuniti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, buat masa ini ada dalam kalangan mereka sudah dilihat menyokong beberapa parti.
“Sekarang ini majoriti (Orang Asli) di Kelantan masih menyokong Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun saya lihat ada dalam kalangan Orang Asli sudah menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Pas.
“PH sekarang juga sudah kuat terutamanya di kawasan pedalaman. Situasi itu dapat dilihat di beberapa tempat khususnya seperti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Galas yang terlibat dengan isu tanah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Bidi memberitahu, selaku pemimpin, pihaknya bimbang jika wujud parti, masyarakat Orang Asli akan menjadi berpuak-puak.
Katanya, situasi tersebut dilihat kurang baik untuk masa depan Orang Asli.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan penubuhan parti politik Orang Asli dilihat tidak sihat dan dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan dalam komuniti itu.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd. Nor berkata, beliau difahamkan sebuah parti politik baharu untuk masyarakat Orang Asli telah diluluskan penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, parti politik itu mahu menyasarkan keahlian dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini yang hanya berjumlah kira-kira 217,000 orang. – UTUSAN