Operasi SAR mangsa kepala air diperkecil mulai esok  - Utusan Malaysia

Operasi SAR mangsa kepala air diperkecil mulai esok 

ANGGOTA SAR melakukan pencarian mangsa terakhir tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, hari ini.  - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Operasi berskala besar mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di sini yang dilakukan sejak Ahad lalu akan diperkecilkan mulai esok. 

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, tindakan itu diambil berikutan tiada sebarang petunjuk baharu untuk pencarian mangsa terakhir, Putri Nor Fatin Karim, 14.

Menurutnya, Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih juga akan dipindahkan pengoperasiannya ke Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh di sini mulai pukul 6 petang ini. 

“Pencarian dan pemantauan akan dilakukan oleh Balai Bomba Cheneh dan Chukai dalam skala lebih kecil mengikut jumlah anggota balai masing-masing yang bertugas. 

“Selain Pusat Kawalan Operasi, kita juga menutup Pusat Kawalan Hadapan di Kampung Pasir Minal dan Kampung Seberang Tayor,” katanya ketika ditemui selepas memberi taklimat terakhir kepada 250 anggota penyelamat yang menyertai operasi di sini, petang tadi.  

Azman berkata, pihaknya juga meminta kerjasama daripada penduduk dan nelayan untuk melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang petunjuk pencarian mangsa terakhir. 

“Kita telah melakukan operasi mencari dan menyelamat di segenap sektor iaitu dari lokasi kejadian hingga ke muara Sungai Kemaman, namun, kita masih tidak dapat menemui mangsa,” ujarnya. 

Sesi taklimat terakhir petang ini turut diselubungi perasaan hiba dan sedih apabila pasukan penyelamat masing-masing pilu mengenangkan hanya seorang daripada 10 mangsa yang gagal ditemui setakat ini.

Pasukan penyelamat turut membacakan surah  Al Fatihah untuk disedekahkan kepada mangsa yang terkorban dalam tragedi itu. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga termasuk seorang bakal menantu ahli keluarga itu dikhuatiri hilang ekoran insiden kepala air berikutan hujan lebat. 

Sehingga semalam, sembilan mangsa telah ditemui sejak Ahad iaitu Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anaknya iaitu Putri Alleya Maisarah, 16, Muhammad Zulqarnain Haikal,11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira, 4. 

Anak tirinya, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, pula ditemukan pada Selasa sementara tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, dijumpai kira-kira pukul 9.20 pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya