KEMAMAN: Operasi hari kelima mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang dikhuatiri hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat ini diteruskan walaupun cuaca buruk berikutan hujan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, seramai 279 orang anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Pasukan Gerakan Am, Angkatan Pertahanan Awam, dibantu sukarelawan dan orang awam digerakkan bagi mencari mangsa.
Menurutnya, pencarian dibuat di sektor A iaitu di lokasi kejadian, dari Menara Sapura hingga ke jambatan Kampung Teladas sepanjang 6.3 kilometer.
“Kita juga akan membuat pencarian di sektor B bermula dari belakang Sekolah Menengah Ayer Putih menghala di Pos Kawalan Hadapan di Kampung Seberang Tayor sehingga ke perangkap sampah Sungai Pinang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Azman berkata, sektor C kawasan pencarian dari Sungai Pinang ke muara Sungai Kemaman telah selesai dilakukan, bagaimanapun, pemantauan menggunakan bot di kawasan itu akan terus dilakukan.
“Kita juga akan terus menggunakan khidmat enam ekor anjing pengesan K9 dari bomba dan polis serta menggunakan satu unit dron,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.
Setakat pukul 10 pagi ini, lapan mangsa telah ditemukan sejak hari Ahad lalu.
Lapan mangsa yang ditemukan ialah Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa.
Dua lagi mangsa yang masih belum, ditemui ialah Putri Nur Fatin Karim 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24. – UTUSAN