Operasi SAR dua lagi mangsa kepala air dibantu unit penyelam - Utusan Malaysia

Operasi SAR dua lagi mangsa kepala air dibantu unit penyelam

SEORANG pegawai bomba memberi taklimat sebelum memulakan operasi SAR hari keempat hari ini di Pusat Kawalan Operasi, Balai Polis Air Putih, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih yang memasuki hari keempat, hari ini, akan dibantu unit penyelam dari Polis Marin dan pasukan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Azman Alias berkata, pihaknya akan mengenal pasti beberapa petunjuk di lokasi yang selamat untuk dilakukan selaman bagi mencari mangsa di dasar sungai.

“Sebelum ini kita belum mengatur gerak pasukan selaman berikutan keadaan air sungai yang deras dan tidak sesuai dilakukan selaman,” katanya ketika  di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, hari ini. 

Azman berkata, keadaan cuaca baik dan paras air sungai yang kembali surut diharap dapat membantu memudahkan operasi mencari mangsa.

“Alhamdulillah, cuaca hari ini lebih menyebelahi kita yang mana sejak petang semalam, tiada hujan dan kita harap operasi akan berjalan lancar yang mana hari ini operasi disertai 174 penyelamat dari pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan dibantu sukarelawan serta orang awam,” katanya.

Azman berkata, SAR akan lebih memberi tumpuan di Sektor B dan C iaitu dari Sungai Teladas hingga ke muara Sungai Kemaman.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang termasuk seorang bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.

Setakat pukul 8 pagi ini, lapan mangsa telah ditemui sejak hari Ahad lalu. 

Lapan mangsa yang ditemui ialah Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. 

Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemui semalam. 

Dua lagi mangsa yang belum ditemui iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14 dan tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya