KEMAMAN: Operasi hari ketiga mencari dan menyelamat tiga lagi mangsa yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat sini, lebih tertumpu di kawasan tebing sungai dan darat di sekitar kira-kira 35 kilometer radius pencarian dari lokasi kejadian.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias berkata, ia berikutan tiga mangsa yang ditemukan semalam, dijumpai tersangkut di dahan kayu dan belukar di kawasan tebing dan darat.
“Kita percaya, masih ada mangsa yang mungkin tersangkut di kawasan tebing berikutan semasa kejadian, paras air agak tinggi meliputi kawasan tebing dan darat,” katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di sini, hari ini.
Azman berkata, operasi tersebut disertai 170 anggota penyelamat dari pelbagai agensi termasuk polis, Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Gerakan Am serta dibantu orang awam.
Menurut Azman, empat ekor lagi anjing pengesan daripada unit anjing pengesan bomba dan polis turut membantu operasi pencarian hari ini.
“Semalam kita menggunakan dua ekor anjing pengesan, namun hari ini empat ekor lagi anjing pengesan akan turut membantu operasi di darat dan sungai,” katanya.
Sehingga pukul 10 pagi ini, tujuh mayat telah ditemukan sejak operasi mencari dan menyelamat bermula Ahad lalu.
Tujuh mangsa tersebut ialah Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Sementara itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, pula ditemukan pada pukul 7.45 pagi tadi.
Tiga lagi mangsa yang belum ditemukan ialah Putri Alleya Maisarah Karim, 16. Putri Nor Fatin Karim, 14 dan tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga termasuk seorang bakal menantu ahli keluarga itu dikhuatiri hilang ekoran insiden kepala air berikutan hujan lebat berlaku. – UTUSAN