Operasi haji Malaysia lancar biarpun cuaca panas

Operasi haji Malaysia lancar biarpun cuaca panas

MOHD. Na'im Mokhtar menyambut ketibaan jemaah haji di KLIA, Sepang, Selangor, malam tadi- IHSAN TH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Operasi jemaah haji Malaysia tahun ini dengan kuota penuh 31,600 jemaah buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, berjalan lancar biarpun berdepan beberapa keadaan cuaca panas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, antara cabaran terbesar musim haji kali ini ialah keadaan cuaca panas mencecah antara 38 hingga 48 darjah Celsius serta jumlah jemaah mencecah hampir dua juta orang mengerjakan haji.

Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila kumpulan jemaah haji Malaysia terus menerima pengiktirafan Arab Saudi sebagai jemaah haji berdisiplin dan mempunyai sikap baik selain berilmu.

“Kerajaan Arab Saudi turut mengiktiraf Tabung Haji (TH) apabila TH menerima Anugerah Labbaitom bagi Kategori Kepuasan Tertinggi Dalam Perkhidmatan Yang Disediakan Oleh Pejabat Urusan Haji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut kepulangan 350 jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Kumpulan jemaah haji itu tiba pada pukul 9.55 malam menerusi penerbangan Saudia Airlines SV5610 yang berlepas dari Jeddah pukul 8 pagi (waktu Arab Saudi).

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, ketika ini, seramai 70 jemaah masih dirawat di Pusat Rawatan TH di Mekah dan Hospital Arab Saudi, manakala sembilan jemaah haji meninggal dunia di Tanah Suci Mekah setakat hari ini.

Menurutnya, pihak TH juga akan mengadakan mesyuarat penutupan dengan pelbagai kementerian dan agensi penyedia perkhidmatan haji di Arab Saudi bagi menilai semula tahap perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan pada Musim Haji tahun ini.

“Antara isu yang akan dibincangkan termasuk masalah berkaitan kemudahan di Mina serta beberapa isu lain yang dibangkitkan jemaah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata, TH akan mengadakan penambahbaikan perkhidmatan bagi memastikan kecemerlangan perkhidmatannya.

Katanya, sebanyak 25 inisiatif berjaya dilaksanakan TH bagi musim haji tahun ini termasuk inisiatif program pendidikan kesihatan kepada jemaah haji melalui ‘Ziarah Rahmah’, Pusat Rawatan TH di Madinah dan perkhidmatan mesin ATM di penginapan jemaah haji Malaysia di tanah suci.

“Sebanyak 98 penerbangan menggunakan pesawat Saudia dan AMAL by Malaysia Airlines akan membawa pulang semua jemaah haji Malaysia dan petugas-petugas haji secara berperingkat,” katanya.

Penerbangan terakhir dijangka berlepas pada 31 Julai melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdul Aziz di Madinah. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya